Keletihan semalam dan kesibukan sepanjang hari ini membataskan masa saya bagi mengemaskini posting terbaru khusus berkaitan sidang DUN Kedah di hari terakhirnya. Namun saya masih berselera untuk berkongsi dengan pengunjung blog ini mengenai hal-hal yang menarik perhatian saya.
Saya bukanlah pemberita untuk menceritakan semuanya bahkan pemberita pun tidak berbuat demikian. Lebih malang lagi, tabiat pemberita media perdana yang suka menulis berita palsu sehingga memesongkan orang ramai dari mendapat maklumat yang tepat. Contohnya dalam isu ladang babi di Bukit Selambau. Sedangkan hakikatnya ladang tersebut telah diluluskan pada Disember 2007 oleh kerajaan terdahulu.
Justeru tulisan saya ini hanya mengenai perkara yang menarik perhatian saya sahaja. Antaranya, jawapan oleh beberapa EXCO dan Menteri Besar kepada beberapa persoalan, permintaan dan tuduhan yang ditimbulkan oleh wakil pembangkang ketika perbahasan.
Perkara-perkara yang dibangkitkan wakil pembangkang seperti:
- YB ADUN Pedu (Ketua Pembangkang) - Meminta supaya kerajaan negeri mewujudkan hubungan yang erat antara kerajaan dan pembangkang. Kerajaan juga diminta supaya bekerjasama dengan pembangkang untuk memajukan negeri Kedah.
- YB ADUN Bakar Bata - EXCO Pendidikan diminta melawat dan memberi perhatian terhadap sekolah-sekolah kebangsaan dan tidak hanya menumpukan kepada sekolah-sekolah milik kerajaan negeri sahaja.
- YB ADUN Ayer Hangat - Kerajaan diharap berlaku adil dalam pemberian peruntukan untuk pembangunan kawasan kepada wakil pembangkang.
- YB ADUN Sungai Tiang - Minta kerajaan adil dalam soal kebajikan rakyat tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik.
- YB ADUN Kuah - Minta kerajaan tidak menamatkan kontrak LADA.
Seperti yang saya katakan dalam posting yang lepas, ia seumpama menghantar bola tanggung dan menunggu untuk dilibas oleh barisan EXCO. Seperti dijangka, YB Amiruddin (Anak Bukit) yang mendahului EXCO memberi jawapan yang memang maut.
- Jawapan YB ADUN Anak Bukit:
- Kerajaan terdahulu (Barisan Nasional) tidak pernah memberi peruntukan pembangunan kepada ADUN pembangkang walau diminta berkali-kali.
- Kerajaan Pusat juga tidak pernah memberi peruntukan pembangunan kepada Ahli Parlimen pembangkang seperti yang dinikmati Ahli Parlimen Barisan Nasional.
- Sebaik sahaja Pakatan Rakyat mengambil alih kuasa kerajaan Kedah, Kerajaan Pusat menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai wakil yang menerima peruntukan dari kerajaan pusat. Sepatutnya peruntukan tersebut diserahkan kepada kerajaan negeri untuk pengurusan. Ia sekaligus sebagai tanda kerajaan pusat menghormati kerajaan pilihan rakyat.
- Selain itu penubuhan JPP juga melibatkan kos yang tinggi yang sepatutnya boleh disalurkan kepada pembangunan negeri dan rakyat.
- Jelasnya, tindakan kerajaan pusat yang diperintah BN tidak berlaku adil terhadap kerajaan Kedah yang diperintah Pakatan Rakyat.
- Mengharapkan wakil-wakil rakyat dari BN dapat memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku dikalangan ketua-ketua mereka di peringkat pusat.
- Jawapan YB ADUN Pantai Merdeka:
- Menghadiri majlis-majlis yang hanya dihadiri DYMM Sultan sebagai wakil MB di sekolah-sekolah milik kerajaan pusat.
- Selain itu, hanya dapat hadir sebagai orang biasa dengan berkain pelikat.
- Gambar YAB Menteri Besar tidak dibenarkan digantung di sekolah, PPD dan JPN.
- Arahan dari Kementerian Pelajaran supaya orang politik tidak dibenarkan terlibat dengan sebarang aktiviti sekolah.
- Ada wakil rakyat kerajaan (PAS) yang dihalang oleh PPD dari merasmikan suatu program di salah sebuah dalam kawasannya. Peliknya, jika wakil rakyat itu dari BN dibenarkan pula.
- Jawapan YB ADUN Merbau Pulas:
- Setakat ini bantuan yang diberikan tanpa mengira kaum, agama dan parti politik.
- Langsung tidak mengambil tahu asalkan pemohon layak menerima bantuan.
- Jawapan YAB Menteri Besar:
- Tiga agensi kerajaan pusat yang sukar memberi kerjasama kepada kerajaan negeri. Iaitu penerangan, pendidikan dan belia.
- Dalam satu majlis di Baling yang dihadirinya, pihak Jabatan Penerangan tidak membenarkan alatan mereka digunakan oleh kerajaan negeri. Terpaksa kerajaan negeri mengeluarkan perbelanjaan untuk membeli peralatan sendiri.
- Sekolah-sekolah yang menggantung gambar MB hanya sekolah yang pernah dihadiri oleh DYMM Sultan Kedah.
- LADA tidak menghormati MB sebagai Pengerusi Bersama. Maka kerajaan negeri sedang menimbangkan untuk tidak menyambung khidmat LADA. (wakil BN cukup susah hati bila MB bercadang memansuhkan LADA. Dah jadi tempat depa cari makan).
Banyak lagi jawapan maut khususnya ketika YAB Menteri Besar menggulung perbahasan. Tapi bila terlihat jam sudah 11.30 malam manakala mata pula sekejap celik dan sekejap pejam, saya bercadang untuk berhenti di sini sahaja. Saya juga tidak bercadang untuk menyambungnya.
Kesimpulannya apa yang dinyatakan di atas sekadar membuktikan bahawa ketidakadilan itu sebenarnya datang dan dimulakan oleh BN. Maka BN Kedah selaku pembangkang hendaklah menyedarkan rakan-rakan mereka di pusat dan negeri-negeri yang masih dikuasai mereka supaya sentiasa berlaku adil kerana tidak mustahil akan tiba giliran mereka menjadi pembangkang dan menerima nasib yang sama.
Namun begitu, dari maklumat yang saya terima kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah tidak pula bercadang untuk membalas dendam kerana ia tidak memberi faedah kepada sesiapa. Kini terpulang kepada wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang untuk memanfaatkan peruntukan yang diterima bagi kesejahteraan rakyat Kedah.
Sebaiknya kedua-dua pihak mendokong cita-cita murni ke arah Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.
Namun begitu, dari maklumat yang saya terima kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah tidak pula bercadang untuk membalas dendam kerana ia tidak memberi faedah kepada sesiapa. Kini terpulang kepada wakil rakyat sama ada kerajaan atau pembangkang untuk memanfaatkan peruntukan yang diterima bagi kesejahteraan rakyat Kedah.
Sebaiknya kedua-dua pihak mendokong cita-cita murni ke arah Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.
Ulasan