Kelmarin saya berpeluang mengikuti perjalanan Sidang DUN Kedah yang telah memasuki hari ke-2. Sidang yang bermula pada hari Selasa dengan Titah Ucapan DYMM Sultan dan pembentangan bajet 2009 oleh YAB Menteri Besar dijadual berlangsung selama hari tiga hari.
Pada pemerhatian saya, ahli-ahli YB yang mengambil bahagian sama ada mengemukakan soalan atau membahaskan titah ucapan DYMM Sultan dan Belanjawan 2009 telah dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik. Kebijaksanaan YB Speaker dan Timbalannya mengendalikan perjalanan sidang memastikan sidang dapat berjalan dengan lancar.
Ucapan-ucapan mereka juga disampaikan secara berhemah dengan memberi penekanan kepada hal-hal yang berkaitan rakyat dan negeri. Di samping itu, teguran dan cadangan juga dikemukakan dengan nada positif dan turut diterima positif oleh MB dan EXCOnya.
Cuma sesekali timbulnya kata-kata berbentuk sindiran, gangguan, kesilapan fakta yang dikemukakan dan tuduhan sehingga wakil kerajaan meminta 'point of order' dari Speaker adalah asam garam dalam mana-mana sidang DUN. Sedikit sebanyak ia menghiburkan khususnya kepada kami sebagai pemerhati. Selain itu ia turut mengingatkan MB dan EXCO supaya lebih bersedia. Jelasnya sama ada wakil kerajaan atau pembangkang, masing-masing menghormati perjalanan sidang dan arahan dari YB Speaker.
Berbanding dengan sidang DUN Perak, saya dapati perjalanan sidang DUN Kedah kelmarin jauh lebih baik. Harap berterusan sampai bila-bila. Benarlah seperti kata MB Kedah, kerajaan dan pembangkang di sini seperti adik beradik. Berbanding di Perak, wakil pembangkang jelas bersikap kurang ajar seperti menengking Speaker dan meninggalkan dewan tanpa memberi tunduk hormat kepada Speaker. Lihat di http://www.tvpas.com
Sehingga dewan ditangguhkan pada jam 4.30 petang, tiada kejadian buruk termasuk khabar angin kononnya akan berlaku undi tidak percaya terhadap YAB Menteri Besar.
Ulasan