Syukur, alhamdulillah. Mesyuarat Panitia Pendidikan Islam yang dirancang dan ditunda beberapa kali dapat juga dijalankan. Itupun dalam keadaan jadual yang sangat padat. Selepas mesyuarat saya bergegas ke PPD untuk satu taklimat berkaitan pendaftaran UPSR. Pada sebelah petangnya pula murid-murid sekolah akan menjalani acara sukantara sempena olahraga sekolah. Saya terlibat sebagai pegawai. Selepas sahaja taklimat di PPD berakhir, saya terus keluar tanpa sempat minum petang yang disediakan oleh pihak PPD. Matlamat saya untuk turut serta dalam sukantara tersebut. Ini kerana saya sangat berminat dengan sukan. Rugi kalau tak turut serta. Lagipun saya sebagai ketua rumah sukan mesti mengambil berat hal rumah sukan yang diketuai saya. Alhamdulillah, saya sempat sampai ketika acara sudah berlangsung kira-kira 20%. Ketika saya sampai, ternyata tenaga saya memang ditunggu-tunggu dan menjadi harapan banyak pihak. Saya rasa dihargai. Mungkin juga saya syok sendiri.