Setiap kali Ramadan, surau al-Muhtadin juga tidak ketinggalan menyediakan bubur lambuk. Walaubagaimanapun ia tidaklah dimasak setiap hari, cuma pada hari-hari tertentu sahaja. Tahun ini pula lebih kerap dari tahun-tahun sebelumnya. Dengan resepi khusus, ia diakui sedap oleh sesiapa yang pernah merasainya. Dua tahun yang lalu, ketika bubur lambuk al-Muhtadin( nama tu saya yang bagi ) mula diperkenalkan, saya bawa sebungkus ke rumah mama. Arwah nenek kata, sedap. Kata arwah nenek lagi, saya pandai masak bubur lambuk. Saya sekadar senyum tanpa jawapan. Susah juga nak terangkan kerana arwah nenek ada masalah pendengaran. Ramadan tahun ini, kali kedua kami berpuasa tanpa nenek. Nenek meninggal tahun lalu pada tarikh 7hb. Jun ketika berlangsungnya Muktamar PAS ke-55. Saya masih lagi membawa bubur lambuk ke rumah mama. Lagi pun mama, baba dan adik-adik pun sukakannya. Bukan sebungkus tapi dua. Ketika itu juga saya teringatkan arwah nenek dan pujiannya.