- Dulu-dulu kalau dapat solat terawih berjamaah di belakang imam yang baca laju, itulah yang paling 'best'. Bukan saja laju malah fatihah dibacanya dalam satu nafas.
- Itulah kriteria kejaguhan seseorang imam mengikut penilaian orang-orang kampung. Imam yang dapat menghabiskan 20 rakaat solat terawih ditambah dengan 3 rakaat solat witir dalam masa setengah jam dikira sebagai imam yang jaguh. Paling lama pun 45 minit.
- Macam bas ekspres lajunya. Bayangkan ketika jamaah turun untuk sujud. Berderum bunyinya seperti mahu runtuh lantai surau. Tapi itu dulu.
- Sekarang sudah banyak yang berubah. Sudah ramai yang kembali kepada asas dalam beribadah. Sudah ramai yang buat rujukan. Tiada lagi yang pakai main hentam atau ikut-ikut saja.
- Imam sekarang walau masih ada yang baca fatihah secara wasal(sambung) ayat demi ayat, tidaklah dibacanya dari mula sampai habis dengan satu nafas. Bacaan juga terkawal, tidak terlalu laju dan tidak terlalu lambat. Lambat sangat pun tak boleh juga. Nanti makmum jemu.
- Saya juga pernah membaca fatihah secara wasal. Dua ayat satu waqaf. Begitulah sampai habis fatihah.
- Tapi sejak dua tiga tahun kebelakangan, saya dah mula tinggalkan tabiat itu. Apabila saya merujuk sebuah hadis Rasulullah, Baginda tidak pernah membaca surah fatihah secara wasal antara satu ayat dengan ayat lain. "Nabi membaca surah al-Fatihah dengan berhenti setiap ayat, tidak menyambung satu ayat dengan ayat berikutnya. Begitulah seterusnya sampai selesai. Baginda tidak menyambung satu ayat dengan ayat berikutnya." (Maksud keratan hadis riwayat Abu Daud dan Sahmi. Disahkan oleh Hakim dan az-Zahabi. Baca al-Irwa' hadis no. 343)
- Dalam kitab al-Muktafa, 'Amr Ad-Dani diriwayatkan sebagai berkata, "Hadis ini mempunyai banyak sanad. Inilah yang pokok dalam masalah ini. Sejumlah imam salaf dan ahli-ahli al-Quran dahulu sangat senang membaca al-Quran ayat demi ayat, sekalipun ayat yang satu dengan ayat yang lain masih mempunyai satu pengertian"
- Tokoh hadis abad ini, Syeikh Nasiruddin al-Albani pula berkata, "Sunnah Nabi seperti ini ditinggalkan oleh sebahagian besar ahli qiraatul quran pada masa-masa ini, apa lagi yang lain(orang awam)."
- Saya tidak mengatakan cara bacaan seperti itu salah atau mencacatkan solat, namun adalah lebih baik jika kita dapat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Kerana Bagindalah rujukan terbaik dalam semua urusan kehidupan apatah lagi urusan ibadah.
- Oleh kerana itu, sungguhpun ada rakan-rakan yang menjadi imam masih dengan cara bacaan wasal, saya diamkan saja dan tetap mengikutinya sampai habis. Wallahu a'alam.
Kelmarin saya dan keluarga bercuti ke Pasir Salak. Hajat hati mahu membawa anak-anak meninjau dan mempelajari sesuatu dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sana satu ketika dahulu. Maklumlah sekarang dalam mengharungi sistem pendidikan yang mengutamakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sejarah bangsa sendiri pun tidak diambil berat. Berbanding zaman pendidikan sekitar tahun 1980-an dahulu, Sejarah merupakan salah satu subjek dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 yang menjadi ukuran kejayaan seseorang murid di sekolah rendah. Kesesakan di tol Cangkat Jering. Mereka nak ke mana? Kami sampai sekitar jam 3.30 petang setelah mengharungi empat jam dan sejauh 270 kilometer perjalanan. Sebenarnya saya tersalah arah. Sebabnya sebaik keluar dari lebuhraya Timur Barat mengikut susur keluar Cangkat Jering, langsung tidak ada papan tanda arah ke Pasir Salak. Sehinggalah kami sampai di satu simpang, ikut kiri ke Ipoh manakala ikut kanan menunjukkan arah ke Lumut. Saya ikut jalan kanan...
Ulasan