Langkau ke kandungan utama

Hilangnya fungsi masjid

( sekadar hiasan )
Dr. Mohd Asri bin Zainal Abidin, Mufti Perlis sudah mula mendapat tempat dalam program Bicara Mufti yang disiarkan RTM pada setiap pagi jam 6.30 – 6.45. Ini satu perkembangan yang baik. Walaupun banyak pihak kurang menyenangi cara dan pembawaan beliau, tetapi kedudukan dan peranannya sebagai mufti salah sebuah negeri dalam persekutuan harus diterima semua pihak. Maka, selayaknya beliau diberi ruang untuk berbicara dalam program tersebut.

Pagi itu ( 22.01.2008 ), kali kedua saya mengikuti bicara Mufti Perlis di tv. Seperti biasa, beliau tampil dengan idea tajdidnya. Menyarankan supaya fungsi masjid diperbetulkan.

Masyarakat hari ini seakan meminggirkan masjid. Masjid tidak lagi menjadi pusat penyatuan masyarakat dan ummah. Orang ramai tidak berminat untuk berkumpul di masjid. Salah siapa? Orang-orang masjid pula lebih suka berklik-klik. Ada klik masjid, ada klik kedai kopi, ada klik padang bola dan berbagai lagi. Yang jarang ke masjid tidak boleh masuk dalam klik masjid. Tambahan lagi, mereka ini pasti akan dipandang sinis apabila sesekali menjejakkan kaki ke masjid. Siapa yang harus dipersalahkan jika selepas itu masjid terus sepi dari kunjungan lantaran layanan pahit yang diterima.

Sudah lama masjid hilang peranannya sebagai pusat penyebaran ilmu. Bukannya tidak ada kuliah, tetapi kuliah-kuliah yang disampaikan hanya memfokuskan persoalan tentang tauhid, fiqh, tasawuf atau ringkasnya hal-hal yang berkaitan fardu ain sahaja. Sehubungan itu, SS Mufti Perlis mencadangkan supaya diperluaskan bentuk penyampaian kuliah kepada ilmu-ilmu kifayah seperti ilmu muamalat atau ilmu perniagaan, sains, teknologi maklumat, bahasa dan sebagainya. Cuba bayangkan selepas solat Maghrib, ada guru yang mengajar bahasa Inggeris di surau. Esoknya pula ada guru yang mengajar komputer, ilmu ekonomi, falsafah atau sejarah perjuangan rakyat Malaysia menuntut kemerdekaan. Maka masjid kembali kepada zaman kegemilangannya sebagai pusat penyebaran ilmu yang telah melahirkan ilmuwan-ilmuwan besar seperti al Khawarizmi, Ibn al Khaldun, Ibn Sina, Ibn Rusyd dan ramai lagi. Nama-nama besar ini bukan sahaja alim dalam bidang agama malah saintis tersohor di mata dunia. Mereka bukan sahaja menimba ilmu di masjid malah turut menjadikan masjid untuk mereka menyebarkan ilmu kepada orang ramai.

Masjid akan menjadi tempat berkumpul pencinta-pencinta ilmu dari berbagai golongan dan peringkat manusia untuk mendengar ilmu yang disampaikan dan bersifat global pula. ATAU PUN, memang sudah diagendakan masjid hanya ditetapkan untuk golongan pencen atau datuk tua yang setia menghuni tiang-tiang masjid.

Pihak masjid turut dicadangkan supaya menganjurkan kelas-kelas tuisyen untuk pelajar-pelajar sekolah. Apabila masuk waktu solat, pelajar yang mengikuti tuisyen akan turut serta bersolat secara berjamaah. Secara tidak langsung bilangan jamaah masjid bertambah dan fungsi masjid menjadi lebih luas dalam memenuhi tuntutan jamaah dan ummah.
Semoga masjid tidak lagi sepi dan lengang. Lebih tiang dari orang. Wassalam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Pasir Salak Resort yang mahal tapi tak ada air dan Sejarah yang diabaikan

Kelmarin saya dan keluarga bercuti ke Pasir Salak. Hajat hati mahu membawa anak-anak meninjau dan mempelajari sesuatu dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sana satu ketika dahulu. Maklumlah sekarang dalam mengharungi sistem pendidikan yang mengutamakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sejarah bangsa sendiri pun tidak diambil berat. Berbanding zaman pendidikan sekitar tahun 1980-an dahulu, Sejarah merupakan salah satu subjek dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 yang menjadi ukuran kejayaan seseorang murid di sekolah rendah. Kesesakan di tol Cangkat Jering. Mereka nak ke mana? Kami sampai sekitar jam 3.30 petang setelah mengharungi empat jam dan sejauh 270 kilometer perjalanan. Sebenarnya saya tersalah arah. Sebabnya sebaik keluar dari lebuhraya Timur Barat mengikut susur keluar Cangkat Jering, langsung tidak ada papan tanda arah ke Pasir Salak. Sehinggalah kami sampai di satu simpang, ikut kiri ke Ipoh manakala ikut kanan menunjukkan arah ke Lumut. Saya ikut jalan kanan...