Langkau ke kandungan utama

Perkara ghaib: Berpadalah dengan Quran dan Hadis

Beberapa hari yang lalu, heboh diperkatakan tentang penayangan video 'Sajak Kematian' yang ditayangkan kepada murid-murid Tahun Satu di sebuah sekolah. Tayangan tersebut menyebabkan komen tidak senang dari waris beberapa murid yang terlibat. Ia turut mendapat respon dari YB. Menteri Pelajaran dan Sahibus Samahah Mufti Perlis. Kedua-dua mereka jelas tidak bersetuju dengan pendekatan yang digunakan bahkan Mufti Perlis berpandangan ia boleh menjejaskan akidah kerana melibatkan perkara ghaib.

Sementara itu, semalam akhbar Berita Harian menyiarkan pendedahan bekas Penasihat Undang-undang Al-Arqam mengenai pembikinan video tersebut yang didakwanya dilakukan oleh bekas pengikut pertubuhan yang diharamkan itu yang kini bernaung di bawah pertubuhan Rufaqa.

Setakat ini saya belum menonton video yang dihebohkan ini. Bagaimana jalan ceritanya, tidaklah saya ketahui. Melalui akhbar saya mendapat tahu kandungan video tersebut mengenai seksaan terhadap mayat di alam barzakh.

Sekadar berkongsi pengalaman, saya pernah menonton video seperti ini ketika mengikuti satu kursus anjuran Institut Perguruan Darulaman dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah pada tahun 2006. Peserta kursus telah ditunjukkan tayangan dari VCD mengenai keadaan dalam kubur sebaik saja janazah dikebumikan. VCD tersebut turut diselitkan dengan nasyid dan alunan zikir.

Saya tidak pasti adakah VCD ini yang dimaksudkan.

Penceramah kursus yang juga merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Islam IPDA menyatakan VCD tersebut boleh digunakan sebagai bahan bantu mengajar dalam kelas. Beberapa rakan peserta menunjukkan minat untuk mendapatkan VCD tersebut. "Boleh dapatkan di tempat-tempat ceramah." Kata penceramah tadi.

"Baguih juga VCD ni." Kata rakan di sebelah saya. Saya diam saja. "Baguih apa?"

Alam kubur atau alam barzakh adalah salah satu daripada perkara ghaib atau sam'iyyat. Ia merupakan perkara yang wujud tetapi tidak boleh dikesan dengan pancaindera. Murid Tahun Enam belajar perkara ini. Orang Islam wajib beriman dengan perkara ghaib. Mengingkarinya menyebabkan jatuh kepada kekufuran. Namun Allah menetapkan perkara ghaib hanya diketahui melalui keterangan-keterangan dari Quran dan hadis sahaja. Tiada bukti fizikal merupakan rahsia yang hanya Allah saja yang tahu. Selaku hamba Allah, kita tidak disuruh untuk membagaimanakan perkara-perkara ghaib.

Rasulullah sallallahu alaihi wasallam sangat diketahui amat menyayangi umatnya apatah lagi sahabat-sahabat Baginda yang hidup sezaman-Nya. Dengan kedudukan Baginda selaku kekasih Allah, Baginda boleh saja memohon supaya Allah menunjukkan keadaan atau kejadian yang berlaku di alam barzakh untuk ditunjukkan sebagai bukti kebesaran Allah kepada sahabat-sahabat Baginda. Namun, pernahkah kita mendengar Rasulullah melakukan demikian? Para sahabat radhiallahu 'anhum hanya mengetahuinya melalui perkhabaran wahyu. Para sahabat pernah bertanyakan keadaan di alam barzakh, padang mahsyar serta syurga dan neraka. Mereka tidak pula minta Rasulullah tunjukkan kepada mereka. Tetapi iman mereka paling mantap.

Justeru di manakah kewajaran kita untuk menggambarkan keadaan di alam barzakh sebagai medium pendidikan yang kononnya boleh menguatkan iman mereka yang menontonnya. Bagaimana pula kalau selepas ini ada pihak yang menghasilkan VCD mengenai keadaan di padang mahsyar, syurga dan azab di neraka dengan alasan mendidik dan menguatkan iman. Ketegasan serta tindakan pantas dari pihak yang berwajib diharap dapat membendung gejala kerosakan akidah yang sangat halus ini.

Niat yang baik mesti seiring dengan cara yang betul. Cara yang betul berpandukan Quran dan Sunnah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...