Saya baru sampai dari Kelantan. Sempat juga join Muktamar PAS walaupun dah berada di penghujungnya. Ketika para perwakilan dan pemerhati mula meninggalkan Kota Bharu, saya dan keluarga sambung sehari lagi.
Selepas berehat dan mandi, saya lihat komputer meja dah terbuka. Mungkin anak saya yang bukakannya. Sambil berjalan menuju ke meja makan, saya singgah sekejap melihat blog untuk melepaskan rindu. Leceh betul kerana tak bawa laptop ke sana. Hotel pula ada free wifi.
Tiba-tiba mata saya terpandang ke tajuk terkini dari laman web PAS Pusat, "Ustaz Hassan Shukri Kembali ke Rahmatullah". Saya lebih terharu kerana, Allahyarham dikhabarkan turut serta dalam Muktamar PAS ke-56 di Kota Bharu.
Allahyarham merupakan pemimpin yang sangat besar jasanya kepada PAS. Kalau tidak silap saya, berdirinya Markaz PAS Taman Melewar dengan megah adalah hasil cetusan ideanya. Allahyarham pernah berkhidmat dengan tiga YDP(Presiden) PAS dari zaman Datuk Asri, Tn. Guru Hj. Yusuf Rawa dan Dato' Fadhil Noor sebagai Setiausaha Agung, sebelum menjadi Naib Presiden dan Timbalan Presiden.
Bagi segala sumbangan Allahyarham kepada jamaah, saya ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham, sahabat handai, para pemimpin dan ahli PAS seluruh negara. Kepulangan Allahyarham ke rahmatullah pada hari ini merupakan kehilangan besar kepada jamaah kerana peranannya sangat dituntut apatah lagi selama ini Allahyarham ibarat kamus yang menjadi tempat rujukan.
Ulasan