Langkau ke kandungan utama

Penerangan ringkas mengenai solat gerhana

Selepas solat maghrib tadi, pengerusi surau al-Muhtadin mengumumkan beberapa program terdekat anjuran surau. Pertama, ceramah Isra' Mi'raj pada Rabu depan. Kedua, majlis bacaan yaasin malam Nisfu Syaaban. Saya menunggu kalau ada yang ketiga. Tiada yang ketiga. Sah, dia lupa atau tak tahu langsung.

Besok akan berlakunya gerhana matahari sekitar jam 8.18 pagi seperti yang tertera pada taqwim solat keluaran Majlis Agama Islam Negeri Kedah yang turut dijadikan panduan oleh para jamaah surau al-Muhtadin. Saya menunggu pengumuman mengenai solat gerhana. Malangnya, tiada pengumuman dan ia seperti diabaikan.

Jika dibuat perbandingan antara membaca yasin malam Nisfu Syaaban dan solat gerhana, manakah sepatutnya diutamakan. Yang pertama bersumberkan hadis palsu sedang yang kedua jelas kesahihan nasnya. Namun kerana ia bukan amalan popular di kalangan masyarakat Melayu, kadangkala ia berlalu tanpa disedari. Situasi seperti ini seakan-akan ungkapan Hasan bin 'Athiyah, "Tidaklah satu kaum mencipta satu bidaah dalam agama mereka melainkan Allah mencabut daripada sunnah (Nabi) mereka sesuatu yang semisalnya, kemudian tidaklah ia dikembalikan kepada mereka sehinggalah pada hari kiamat."

Panduan solat gerhana

Ulama telah bersepakat bahawa solat gerhana hukumnya sunat muakkad bagi lelaki dan wanita serta keutamaan mengerjakannya secara berjamaah sekalipun berjamaah bukan menjadi syarat sahnya. Solat gerhana dilakukan dua rakaat tetapi ulama berbeza pendapat mengenai cara melakukan khususnya mengenai bilangan ruku' dalam setiap rakaat.

Jumhur ulama mengatakan pada setiap rakaat dilakukan dua kali ruku'. Pendapat ini bersandarkan pada hadis dari Aisyah yang bermaksud,
"Ketika hayat Nabi sallallahu 'alaihi wasallam, terjadilah gerhana matahari. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam keluar ke masjid, berdiri lalu takbir. Orang-orang pun berbaris di belakangNya. Baginda membaca surah yang panjang. Seterusnya bertakbir lalu ruku' dan panjang sekali ruku'nya yang seakan sama panjangnya waktu berdiri. Seterusnya Baginda mengangkat kepala dan membaca sami'allahu liman hamidah, rabbana walakalhamdu. Lalu berdiri lagi dan membaca surah yang panjang cuma pendek sedikit dari yang pertama. Lalu takbir dan ruku' manakala ruku'Nya kali ini pendek sedikit dari ruku' yang pertama, kemudian sujud. Dalam rakaat berikutnya dilakukan sebagaimana rakaat yang pertama sehingga sempurna empat kali ruku' dan empat kali sujud ............." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Selain hadis Aisyah, Bukhari dan Muslim turut meriwayatkan hadis dari Ibn Abbas yang menerangkan tatacara yang menyamai hadis Aisyah di atas.

Ibn Abdil Barr berkata, "kedua-dua hadis(Aisyah dan Ibn Abbas) adalah yang paling sah mengenai bab solat gerhana." Manakala Ibnul Qayyim pula berkata, "hadis yang paling sahih, sarih dan dapat dijadikan pegangan dalam bab ini ialah dengan mengulangi ruku' dalam setiap rakaat." Demikianlah pegangan mazhab Maliki, Syafie dan Ahmad.

Namun di sisi Imam Abu Hanifah solat gerhana dikerjakan seperti solat hari raya atau solat Jumaat. Antara hadis yang menjadi sandarannya ialah hadis Nu'man Basyir yang bermaksud, "Rasulullah bersolat dengan kami dalam solat gerhana seperti solat yang biasa, yakni ruku' dan sujud, dua rakaat- dua rakaat, lalu berdoa sampai matahari berkeadaan seperti asal."

Mengenai bacaan fatihah, ia adalah rukun yang dibaca dalam setiap rakaat dan dibolehkan sama ada menyaringkan atau memperlahankan bacaannya. Hanya imam Bukhari lebih menyukai pada menyaringkan bacaan.

Demikianlah serba sedikit panduan mengerjakan solat gerhana untuk dikongsi bersama. Moga diperolehi sedikit manfaat dari penerangan yang tidak seberapa ini di samping menjadikan kita lebih mengutamakan sunnah Nabi dari yang lainnya.

_____________________________________________________
:: Diringkaskan dari kitab Fiqh as-Sunnah, karya AS-Syeikh Sayyid Sabiq.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...