Pagi tadi saya telah mendenda seorang murid Tahun 4. Kesannya murid tersebut telah menangis di hadapan saya. Saya terkejut juga kerana denda yang saya kenakan bukannya berat sangat.
Ceritanya begini.
Sedang saya mengajar, salah seorang murid begitu asyik bermain-main dengan getah. Sambil memberi penerangan mata saya memerhatikan gelagatnya. Mulanya saya biarkan dia sementara dia langsung tidak menghiraukan apatah lagi menumpukan kepada topik yang sedang saya ajar.
Kemudian saya memanggil murid tersebut dan 'merampas' getah dari tangannya. Lalu saya arahkan dia supaya menyelesaikan masalah di papan tulis bersama dengan amaran akan didenda jika dia gagal memberi jawapan yang memuaskan. Tergagap-gagap dia memberi jawapan manakala jawapan yang diberi pula tidak tepat.
Seperti yang dijanjikan, dia pun didenda. Dendanya ialah menggantung getah yang dirampas tadi di telinganya. Tidak sekadar itu, gambarnya pula diambil. Dengan nada serius yang dibuat-buat, saya beritahunya akan menyiarkan gambar ini di internet. Ketika itu saya lihat, hidungnya dah kembang kempis. Dan...... dia menangis.
Ketika itu juga loceng berbunyi. Saya terus keluar dari kelas dengan berlagak seperti tidak mempedulikan dia. Sambil itu memikirkan betapa dahsyatnya kesan denda yang dikenakan. Walaupun tidak mendatangkan kecederaan kepada fizikal, tetapi rupa-rupanya cedera pada perasaan lebih menyakitkan.
Ulasan