"Salawat kuat-kuat sikit. Macam tak dak orang." Peringatan pengerusi buat para jamaah malam tadi. Semalam para jamaah diminta supaya menguatkan 'volume' masing-masing menyahut seruan salawat dari bilal antara dua rakaat salawat terawih. Satu amalan biasa ketika bertarawih bagi orang-orang Melayu di Malaysia. Saya katakan amalan Melayu, kerana al-Quran dan Hadis yang menjadi rujukan orang Islam tidak menyebut tentang amalan tersebut.
"Dia buat pulak". Rungut saya dalam hati.
Saya ulang sekali lagi seperti saya tulis dalam posting Tahlil Dalam Kenduri Akikah kalau agama diukur mengikut neraca akal, beginilah jadinya. Nak bersolat pun mesti ada bunyi riuh. Barulah nampak meriah. Agaknya kalau tak meriah, Allah tak terima solat kita?
Atas dasar apa kita bertasbih, berzikir dan bersalawat antara dua rakaat solat terawih. Bukan ada nas pun. Kalau pun nak berzikir atau bersalawat juga dengan alasan itu benda baik seperti pegangan kebanyakan anggota masyarakat kita, tidak perlulah dinyaringkan suara. Allah berfirman, "Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara (wa duunal jahri), di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai". (Surah al-A'raf:205)
Allah berfirman lagi, "dan janganlah kamu mengeraskan suaramu (wala tajhar) dalam shalatmu dan janganlah pula merendahkannya(wala tukhafit) dan carilah jalan tengah di antara kedua itu." (Surah al-Isra':110)
Berpandukan kedua-dua ayat di atas, Allah melarang kita mengeraskan atau men'jahar'kan suara ketika berzikir. Begitu juga larangan 'tukhafit' yang bermaksud berzikir dalam hati tanpa menggerakkan bibir. Sebaliknya zikir yang dianjurkan ialah pertengahan antara keduanya iaitu berzikirdengan suara yang perlahan atau 'sirr'.
Adalah tidak menyalahi sunnah seandainya kita berzikir sebagai pengisian antara 2 rakaat solat terawih. Tetapi dengan merendahkan suara, tidak mengganggu jamaah lain dan zikir tersebut hanya kita saja yang mengetahuinya. Malah bentuk zikir juga tidak dikhususkan kepada satu bentuk saja seperti yang diamalkan sekarang. Berzikirlah dan berdoalah semahu kita mengikut keperluan dan kemampuan serta berdasarkan pengetahuan, bukannya ikut-ikutan.
Sangkaan berzikir dan bersalawat dengan suara yang kuat menambah kemeriahan berterawih bukan sahaja tidak dituntut oleh agama malah sangat melucukan. Malaikat tak perasankah?
Seperkara lagi yang melucukan apabila selesai berdoa selepas 4 rakaat terawih yang pertama, bilal melaungkan "al-badrul munir Muhammad". Jamaah surau saya pula menyahut "shallu 'alaih" yang bermaksud 'salawatlah kamu ke atasnya'. Kalau dah jamaah yang suruh bersalawat, siapa pula yang nak bersalawat. Jiran-jiran di rumah yang sedang menonton tv???
Bagi yang menonton siaran langsung solat terawih dari Masjidil Haram tentu dapat merasai tenangnya bertarawih. Tiada tasbih, zikir, selawat dan doa secara jahar.
Ulasan