Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut.
Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali.
Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat.
Setahu saya tahlil dibaca bersempena dengan sesuatu kematian. Sedangkan akikah bersempena dengan menyambut kelahiran. Sepatutnya hadirin bersyukur dengan kelahiran, sebaliknya disedihkan dengan doa kematian. Saya hanya mampu menggelengkan kepala.
Inilah akibatnya apabila amalan diukur dengan kepala sendiri. Asalkan ada bacaan dari ayat-ayat al-Quran, zikir, salawat dan doa, semuanya baik. Kegagalan meneliti nas menimbulkan huru hara kejahilan. Ummah menjadi mangsa dek kesilapan orang-orang yang bergelar haji, lebai atau imam. Ilmu bukan lagi ukuran sebaliknya serban dan jubah lebih dikagumi. Alunan merdu suara yang mengepalai bacaan zikir dan doa menjadi sandaran keyakinan biarpun si pembaca tidak memahami doa yang dibaca.
Doa untuk arwah dibaca dalam majlis menyambut kelahiran. Dan orang ramai pun ............Amin!
Ulasan