Langkau ke kandungan utama

Kecelaruan PPSMI

Ini cerita lama. Dua orang murid Tahun 2 sebuah sekolah di negeri Perak dilapor melakukan seks oral dalam kelas. Antara yang paling marah ketika itu dengan laporan ini ialah Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Beliau mensasarkan kemarahannya kepada guru-guru Pendidikan Islam (GPI). Guru Agama tidak bertanggungjawab. Tidak mengajar agama yang betul. Asyik berpolitik. Tuduhnya. Akibatnya murid Tahuin 2 pun berani melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kebetulannya kejadian berlaku selepas setahun BN hilang banyak kerusi dalam PRU 1999. Belum reda lagi marahnya. Memang Dr.M marah betul kepada GPI yang menurutnya meninggalkan kelas untuk berpolitik bagi pihak pembangkang. Kalau untuk UMNO tidak mengapa lah.

Selang beberapa hari selepas itu, laporan terperincinya ialah kedua-dua murid tersebut merupakan murid India (Hindu) di SRJK Tamil. Bila masa pula GPI mengajar murid-murid non Muslim.

Sehingga hari ini, PM yang dah jadi bekas itu masih belum menuntut maafnya dari semua GPI seluruh negara. Sejak hari itu isu ini terus didiamkan. Saya sendiri kalau mengenangkan peristiwa itu, meluap-luap menyampah saya.

***********************************************
Timbul pula cerita ada pegawainya tidak pandai berbahasa Inggeris ketika satu lawatan ke luar negara. Sahih atau tidak, saya kurang pasti. Tapi saya yakin ramai yang mengetahui cerita ini. Dia marah lagi. Sistem pendidikan dirombaknya. Sains dan Matematik diajar dalam bahasa Inggeris atau disebut sebagai Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris atau PPSMI.

Peliknya, Dr.M tidak pula marahkan guru bahasa Inggeris akibat kegagalan penguasaan Bahasa Inggeris. Tapi dialihkan beban tersebut kepada guru Sains dan Matematik. Berkursuslah cikgu-cikgu. Kemudian dibayar pula elaun. Cikgu-cikgu lain pula melopong. Tengok kawan-kawan PPSMI dapat elaun. Ada yang 'convert' dari guru bahasa menjadi guru Sains. Rezeki masing-masing.

Bermula tahun lalu, guru-guru PPSMI diarahkan pula ambil peperiksaan. Keputusannya dapat menentukan adakah guru-guru mampu menguasai bahasa Inggeris dan layak menerima elaun. Ramai juga yang mengeluh. Tahun ini ujian dah bermula sejak 29hb. Jun, diikuti dengan hari-hari Sabtu berikutnya. Ditambah dengan kursus-kursus yang dijalankan di sekolah, cuti Sabtu dikorbankan. Berdasarkan respons rakan-rakan yang mengambil ujian, emmmmpphhh....

Tahun ini masuk tahun ke-6 PPSMI dijalankan. Tahun ini juga UPSR pertama membabitkan PPSMI. Guru-guru, waris dan murid berdebar-berdebar menantikannya. Pihak sekolah dan guru memikirkan peratus pencapaian dan bilangan yang dapat 5A. Murid-murid memikirkan kemampuan mereka menjawab soalan seterusnya mendapat keputusan cemerlang. Tidak ketinggalan juga bubapa yang mengharapkan kejayaan anak mereka dalam UPSR ini. Sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran.

Berbagai strategi dirancang. Kelas tambahan bertambah-tambah. Teknik menjawab soalan dikemukakan. Perbendaharaan kata atau 'vocabulary' dilatih tubi. Itu di sekolah. Di rumah pula perhatian dan pesanan silih berganti. Tidak ketinggalan 'orang rumah' saya yang juga guru PPSMI turut mengingatkan puteri sulung kami. Semua mengharapkan KECEMERLANGAN.

Lain pula di kementerian. Tidak dinafikan mereka turut memikirkan soal kecemerlangan. Tambahan lagi ia melibatkan maruah mereka yang mencipta dan mempertahankan PPSMI. Soal penguasaan bahasa Inggeris tidak timbul lagi. Naik atau turun peratus murid mendapat A yang menjadi keutamaan. Arahan terbaru kepada pihak yang menggubal soalan Sains dan Matematik sama ada di sekolah, PKG, PPD, JPN atau bahagian peperiksaan di KPM mesti menyediakan dwi soalan.

Murid pula dibenarkan menjawab soalan sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris. Terkini, saya dengar dari rakan-rakan yang mengajar mata pelajaran Sains, murid boleh merojakkan jawapan. Ertinya boleh mencampurkan bahasa Inggeris dan Melayu dalam satu jawapan.

Bercelaru sungguh. Kasihan saya kepada rakan-rakan yang berbuih mulut memastikan murid mereka memahami sesuatu perkataan. Guru Besar pula selalu mengingatkan guru-guru yang terlibat supaya tidak menyeleweng dari tujuan PPSMI. Tidak cukup dengan peringatan, diungkit pula elaun yang diterima. Cuma bila jadi begini, tidakkah Guru Besar merasa diri mereka diperbodohkan. Pertama diperbodohkan oleh orang atasannya. Kedua dikatakan bodoh oleh orang bawahannya.

Apa pun semua pihak menjadi mangsa. Mangsa KECELARUAN PPSMI.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se