Langkau ke kandungan utama

Mufti Perlis jawab isu empat saksi kes liwat

PETALING JAYA: Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin jelas bercanggah pendapat dengan Mufti Perak, Dato Harussani Zakaria dalam kes orang yang menuduh dirinya diliwat mesti mengemukakan empat orang saksi dan jika gagal boleh disebat 80 kali.

“Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat,” kata Dr Asri.

“Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?

“Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim,” katanya lagi.

Baru-baru ini, Dr. Asri meminta kedua-dua individu yang dikaitkan dalam kes liwat iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan supaya ‘bermubahalah’ atau bersumpah.

Beliau berkata isu liwat itu kini sudah menjadi semakin rumit dan rakyat pula menjadi keliru.

Katanya, Anwar dan Mohd Saiful hendaklah bersumpah laknat iaitu dengan melafazkan sumpah: “Jika dia tidak melakukan kepada saya, laknat Allah kepada saya, jika saya melakukannya, laknat Allah kepada saya.”

Cadangan Dr Asri tidak dipersetujui oleh Dr Harussani yang berpendapat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu tidak perlu bersumpah atau bermubahalah.

Ini kerana, menurut Dr Harussani, isu liwat itu terletak dalam bab jenayah (kazaf) dan orang yang menuduh (Saiful) mesti membawa saksi sebagaimana yang disyaratkan dalam kanun jenayah syariah, jika dia gagal, dia boleh dikenakan hukuman 80 sebatan.

Dr Asri pula berkata, “Sebenarnya seseorang yang mendakwa dirogol atau diliwat boleh menguatkan kes dan tidak semestinya mengemukakan empat orang saksi saja. Pendakwa boleh mengemukakan qarinah (bukti atau apa saja yang berkaitan) untuk membantu siasatan,” jelasnya.

Dr Asri bertanya, adakah mungkin selepas ini pihak-pihak berkenaan akan mencadangkan supaya wanita-wanita yang membuat aduan menjadi mangsa rogol datuk, bapa, atau orang lain kena membawa empat orang saksi dan disabit 80 sebatan rotan.

“Dapatkah dicari empat orang saksi beriman? Di mana pula di dunia ini ada orang yang dirogol disaksikan empat orang saksi beriman dan saksi-saksi itu pula akan hanya melihat saja tanpa melarang perbuatan itu?,” tanyanya lagi.

Cadangan bermubahalah yang pernah disuarakan oleh Dr Asri tempoh hari jelas mengundang pelbagai reaksi dari ulamak dan ahli politik.

Dr Harussani tegas berkata yang Anwar Ibrahim tidak perlu bersumpah kerana katanya ia tidak menepati undang-undang Islam. Kata beliau lagi, kes isu liwat yang membabitkan Anwar adalah perkara yang menjatuhkan maruah dan tidak timbul soal perlunya orang yang mendakwa atau tertuduh untuk bersumpah.

Kata Dr Asri, selepas bermubahalah (bersumpah) tidak bermakna orang itu tidak akan dihadap ke mahkamah. “Mubahalah lain, prosedur mahkamah lain. Mubahalah timbul akibat ada pihak yang tak percaya pada sistem kehakiman, percaya ada komplot, bila masyarakat tidak mempercayai satu sama lain, bila saksi dianggap palsu, mahkamah pula tidak boleh dipercayai.

“Daripada terus berbalah antara satu sama lain dan membiarkan keadaan berterusan dan tuduh menuduh, elok didatangkan bermubahalah. Satu jalan penyelesaian untuk tidak terus berbalah,” kata Dr Asri.

Ketika diminta mengulas kenyataan Dr Harussani yang mengatakan cadangan bermubahalah itu datangnya orang yang terlebih pandai, Dr Asri hanya berkata, “hasad itu tidak baik.”

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se