Langkau ke kandungan utama

Rosak Solat Kerana Berlainan Mazhab?

Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat maghrib saya ditahan oleh pengerusi surau. Ada sesuatu yang hendak disampaikan oleh orang no.1 kepada orang no.2 Surau Al- Muhtadin. Penting!

"Ustazah S***** beritahu saya, Ustaz dah merosakkan sembahyang orang ramai semalam. Ustaz jadi Imam solat Isyak dan solat Terawih tak baca bismillah dalam Fatihah." Itu berita yang hendak disampaikan. "Kata Ustazah lagi, kita di sini kena ikut Mazhab Syafie, lainlah masa Ustaz mengaji di luar negeri dulu." Sambungnya lagi.

Saya tersenyum sendirian. Bila masa pula saya belajar di luar negeri. Memanglah saya belajar di UK, tapi ada tambahan M dibelakangnya. UKM. Lucu pula bila Islam pun cuba diklafikasikan mengikut negeri. Ada Islam Malaysia, Islam Mekah, Islam Eropah dan Islam Amerika. Beginikah pemikiran seorang ustazah terhadap Islam yang dianutinya.

"Habis, En. Mukti kata apa?" Tanya saya.

"Tak kata apa. Saya dengaq sajalah". Katanya.

"Sebenarnya, saya bukan tak baca bismillah. Tapi saya perlahankan. Itu pun cara Rasulullah. En. Mukti pun tau. Saya dah cerita dalam kuliah saya yang lepas-lepas." Saya mulakan penjelasan.

Memang kebiasaan saya membaca bismillah secara sir dan adakalanya secara jahar. Saya biasa selang selikan antara sir dan jahar. Seperti kata Ibnu al Qayyim, "adalah Rasulullah ada ketikanya membaca Bismillah secara jahar dan selalunya membaca secara sir. Dan adalah suatu yang tidak diragukan lagi ialah tidaklah selamanya Rasulullah menjaharkan Bismillah, yakni sebanyak lima kali pada siang dan malam, sama ada ketika menetap atau bepergian." (rujukan Fiqhus Sunnah, Sayid Sabiq).

"Memang pun. Tapi nak cerita yang tu, susah sikit." Beliau mengeluh.

Selama ini tidak pernah ditimbulkan soal rosak solat oleh ahli jamaah khususnya dari kalangan jamaah lelaki yang selalu mengikuti solat jamaah di surau. Tiada siapa yang pernah bertanya sah atau batal solat mereka berimamkan saya. Sementelahan persoalan ini pun pernah saya bangkitkan ketika membimbing ahli jamaah dalam pengajian Fekah menggunakan kitab Fiqhus Sunnah sebagai rujukan.

Tetapi bila tibanya Ramadan, bilangan jamaah pun bertambah, munculnya 'muka-muka baru' yang masih belum memahami letak duduknya masalah. Peliknya kerana yang menimbulkan masalah ini ialah seorang USTAZAH, sedang ahli jamaah lain mengikut sahaja. Lebih berat lagi beliau menghukum solat yang dikerjakan sebagai 'rosak'. Seperti ringan mulut saya mempertikaikan 'keustazahannya', tapi saya pendamkan sahaja. Bimbang pahala puasa teralih.

Beberapa malam berikutnya saya mengambil kesempatan di atas izin pengerusi membuat penjelasan kepada para jamaah. Ala-ala tazkirah. Malangnya USTAZAH tersebut tiada bersama.

Kedua-dua hadis mengenai cara bacaan Basmalah Rasulullah saya kemukakan. Sama ada cara sir atau cara jahar. "Anas berkata: aku solat di belakang Rasulullah dan di belakang Abu Bakar, Umar dan Usman dan mereka tidak menjaharkan Basmalah."(Riwayat Nasaie, Ibn HIbban dan Thahawi dengan isnad atas syarat Bukhari dan Muslim)

Manakala hadis Nabi menjaharkan bacaan Basmalah pula ialah dari Na'im al Mujammir berkata: Saya solat di belakang Abu Hurairah, maka dibacanya Bismillahirrahmaanirrahim lalu dibacanya Ummul Quran. Demikian seterusnya lalu ia berkata, Demi Tuhan yang nyawa saya dalam tanganNya. Saya ini adalah orang paling mirip solatnya dengan solat Rasulullah." (Riwayat Nasaie, Ibnu Khuzaimah dan Ibn Hibban)

Dalam soal agama khususnya ibadah, umat Islam dikehendaki mengikut jejak langkah Rasulullah. Alasan mengikut Mazhab Syafie lalu mengenepikan hadis Rasulullah adalah bertentangan dengan hidayah. Imam Syafie pun pernah berkata, "apabila sesuatu hadis itu sahih, itulah mazhabku. Jika sesuatu hadis itu sahih, campakkan pendapatku ke dinding."(az-Zahabi, Siyar A'lam an-Nubala). Katanya lagi, "setiap perkara yang telah aku perkatakan, sedangkan ada riwayat sahih di sisi ulama hadis daripada Nabi menyanggahi apa yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku semasa hidupku dan selepas aku meninggal dunia." (ibid).

"Lalu dimana silapnya bacaan Basmalah dibaca sir setelah hadis berkaitannya dibentangkan. Semuanya ini kerana sikap jumud dan terlalu fanatik dengan mazhab pegangan kita. Maka sebaiknya kita hapuskan sikap buruk dalam bermazhab di samping meraikan pandangan mazhab lain. Islam adalah pegangan, mazhab pula menyediakan panduan untuk diikuti. Islam hanya SATU. Islam tidak dikelaskan mengikut bangsa penganutnya, negeri atau negara. Justeru tiada salahnya kita mengikut Imam yang tidak semazhab dengan kita atau beramal dengan cara yang tidak sama dengan mazhab anutan masyarakat kita." Saya menutup tazkirah dan bersiap untuk solat terawih.

Alhamdulillah, selepas penjelasan suasana kembali tenang sehingga berakhirnya Ramadan lepas. Mengenai Ustazah S*****, entahlah! Masih seperti dahulu atau sudah berubah.

Adalah suatu yang sangat tercela di sisi agama, akibat terlalu berpegang dengan mazhab sendiri, hadis Rasulullah pula yang dilemparkan ke dinding. Pernah terjadi di sekolah saya, beberapa orang guru perempuan termasuk seorang ustazah mempertahankan pendapat batalnya wuduk bila suami dan isteri bersentuhan. Sedangkan sudah dibentangkan buat mereka hadis Nabi mencium isterinya kemudian keluar bersolat tanpa memperbaharui wudukNya. "Kata Aisyah: Bahawa Nabi mencium sebahagian isteriNya lalu pergi solat tanpa berwuduk lagi." Malangnya dijawab salah seorang dari mereka, "kita ni bermazhab Syafie, kenalah ikut mazhab Syafie." Aduh! Kalau ustazah pun masih tidak faham, bagaimana pula yang bukan ustazah.

Persoalan yang sama juga pernah menjadikan suasana kuliah yang saya kendalikan 'panas' seketika. Perkara yang ditimbulkan ialah bagaimana hendak meninggalkan mazhab yang kita pegang. Agaknya sudah terpahat kukuh dalam pemikiran kita, meninggalkan pendapat mazhab seperti meninggalkan agama. Begitu takut sehingga mahu disamakan seperti murtad.

Tetapi saya percaya, sama ada kerana kejahilan atau terlupa, rata-rata masyarakat Melayu meninggalkan mazhab Syafie ketika membayar zakat fitrah.

Mazhab Syafie meletakkan syarat zakat yang dikeluarkan mestilah berupa makanan asasi penduduk setempat. Sedangkan kita membayar harga beras menggunakan mata wang dengan mengikut Mazhab Hanafi.

Dalam hal ini, apa pula kata mereka? "Tak pa, kerajaan dah izin."

Nah! Timbul satu lagi mazhab. Mazhab kerajaan.

Ooohh! Siapakah yang mahu menyelamatkan umatku dari kecelaruan yang berpanjangan. Namun, bersediakah pula umatku keluar dari kepompong selama ini membalut kejap pemikiran mereka? Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku. Sesungguhnya mereka tidak mengetahui.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...