Ibn Hazm al-Andalusiy(384H-402H) atau nama penuhnya Ali bin Ahmad bin Sa’id bin Hazm bin Ghalib bin Sholeh bin Khalaf bin Ma’dan bin Sufyan bin Yazid bin Abi Sufyan bin Harb bin Umayah bin Abd Syams al-Umawiyah merupakan seorang ulama besar dari bumi Andalus. Ulama kelahiran Qurtuba' ini juga dikenali kerana memiliki aliran mazhabnya sendiri yang dikenali sebagai Mazhab az-Zahiri yang memahami al-quran dan al-hadis secara tekstual bagi tujuan mengeluarkan sesuatu hukum dan pandangan.
Seperti ulama-ulama lain, Ibn Hazm juga tidak ketinggalan menghasilkan karya-karya ilmiahnya sebagai warisan untuk tatapan generasi terkemudian. Keilmuannya dalam pelbagai cabang ilmu telah melahirkan banyak karya yang tidak sekadar terhad kepada persoalan akidah dan ibadah semata malah melangkaui persoalan cinta manusia. Tidak hairanlah jika beliau turut dikenali sebagai seorang pujangga, penyair, sejarawan dan sasterawan.
Kitabnya yang berjudul Tauq al-Hamamah atau Kalung si Merpati merupakan karyanya yang membicarakan persoalan cinta sesama manusia. Buku ini kemudiannya telah diterjemahkan dengan judul Di Bawah Naungan Cinta adalah suatu yang sangat asyik dibaca bukan sahaja oleh mereka yang sedang mencari cinta malah mereka yang sedang menghadapi sindrom kurang daya tahan bercinta dengan pasangan yang sekian lama bersama untuk kembali merasai manisnya bercinta.
Perhatikan frasa-frasa ajaib yang dipersembahkan oleh Ibn Hazm dalam bab pertama buku ini yang membicarakan tentang hakikat cinta. Katanya, "segala jenis cinta yang lahir kerana sesuatu alasan, akan hilang bersama hilangnya alasan, akan mekar bersama mekarnya alasan, akan berkurang bersama kurangnya alasan. Cinta jenis ini akan menjadi kuat tatkala alasan cinta mendekat, dan akan mengendur ketika alasan cinta menjauh. Tiada cinta yang abadi selain cinta suci yang keluar dari kedalaman hati. Cinta jenis ini tidak akan hilang, kecuali ajal datang menjelang."
Cinta juga adakala perlu dimuhasabah. Mana mungkin ada manisnya hidup berpasangan kalau hanya bergalang tanggungjawab, sedang cinta semakin melalui musim dinginnya.
Ulasan