Sebahagian murid-murid Tahun Enam telah dilatih berwuduk dengan air dalam botol minuman bersukatan 500ml. Ternyata ini pengalaman baru bagi murid-murid tersebut kerana sebelum ini terbiasa dengan berwuduk dari air paip. Kebiasaan berwuduk dengan jumlah air yang banyak sehingga lencun separuh badan membuatkan mereka berasa agak kekok. Tambahan lagi syarat yang dikenakan, mereka dilarang sama sekali menambah air di dalam botol.
Untuk pusingan pertama, ada yang tak sempat basuh kaki. Ada juga yang hanya dapat basuh hingga ke bahagian tangan sahaja. Tetapi selepas penerangan mengenai cara-cara yang betul, semuanya mampu berwuduk dengan sempurna.
Untuk aktiviti ini, selain sebagai persediaan menghadapi situasi kekurangan bekalan air yang mungkin berlaku bila-bila masa, mereka juga diingatkan tentang pembaziran yang sering dilakukan khususnya melibatkan air. Rasulullah juga pernah mengingatkan sahabat Baginda supaya berjimat ketika berwuduk walaupun di sungai yang mengalir airnya.
Selesai berwuduk, mereka berhadapan pula dengan satu lagi situasi ketiadaan air. Kali ini mereka mempraktikkan cara-cara bertayammum.
Ini adalah sebahagian dari program yang dirancang untuk murid-murid Tahun Enam khususnya selepas mereka menduduki UPSR bulan lalu. Program yang dinamakan Persediaan Menghadapi Akil Baligh ini turut menyeneraikan beberapa aktivi lagi yang kebanyakannya berbentuk amali atau praktikal. Antaranya cara membersihkan tempat yang terkena najis, tayammum, amali solat fardu dan solat jenazah.
Ulasan