Langkau ke kandungan utama

Wanita haid dan amah Indonesia

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dengan sanad dari Ibn Abi Na'im, "seorang lelaki datang kepada Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma dan kami sedang duduk, lalu lelaki tersebut bertanyakan hukum mengenai darah nyamuk. Lalu Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma bertanya, "dari siapa engkau mendengar pertanyaan ini?" Orang itu menjawab, "dari penduduk Iraq". Kata Ibn 'Umar radhiallahu 'anhuma, "lihatlah, betapa ganjil rasanya, masalah nyamuk dipersoalkan, padahal dalam masa yang sama mereka telah membunuh putera Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam"(nota: Hussain bin Ali radhiallahu 'anhuma). Engkau telah mendengar Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam bersabda, kedua-duanya adalah bunga hatiku di dunia."

Lebih kurang hal yang sama berlaku sekarang.

Dalam satu ceramah yang disiarkan oleh Mutiara FM beberapa bulan lepas, penceramahnya bersungguh-sungguh mempertahankan pendapat wanita yang haid tidak boleh berada dalam masjid dalam apa keadaan sekalipun. Habis dihentamnya ulama-ulama yang menghukumkan sebaliknya termasuk ulama pengkaji hadis abad ini Almarhum Syeikh Nasiruddin al-Albani.

Pernah juga dalam satu kursus yang saya hadir, perkara ini dibangkitkan walaupun langsung tidak kena mengena dengan tajuk kursus. Tidak bermanfaat langsung hal seperti ini dibangkitkan dalam kursus yang berkaitan dengan peningkatan profesionalisme guru-guru PAI.

Dalam pada itu, belum ada lagikah perbincangan mengenai hukum wanita-wanita muslimah dari Indonesia yang bekerja sebagai amah kepada majikan-majikan yang bukan Islam. Malam tadi saya mengikuti kuliah Ustaz Halim Hasan yang membahaskan kitab "Dosa-dosa Besar". Al-Fadil turut menyelitkan cerita-cerita mengenai amah-amah yang disuruh melakukan kerja-kerja yang tidak sepatutnya dilakukan oleh orang Islam. Selain kerja-kerja rutin seperti mengemas rumah dan memasak, kadang-kadang yang dimasak itu daging yang diharamkan. Ada yang disuruh menyediakan peralatan untuk majikan bersembahyang. Ada juga yang disuruh memicit-micit badan ayah majikan yang lumpuh. Tidak kurang yang mengadu diberi rehat yang pendek dan lebih teruk lagi waktu solat pun terpaksa dikorbankan. Itu belum lagi cerita kena sepak terajang.

Kesimpulannya mana lebih utama? Darah nyamuk atau darah Husain bin Ali cucu Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Wanita haid duduk dalam masjid atau wanita muslimah bekerja di rumah Non Muslim. Moga akan dibincangkan selepas ini dan ada perubahan dasar agar mereka ditempatkan secara sewajarnya. Rasanya ia bukan sekadar soal memelihara hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia malah lebih utama memelihara maruah wanita-wanita muslimah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...