Adalah suatu hal yang biasa dapat diperhatikan, ketika jenazah dibawa ke masjid dan diletakkan di hadapan imam dan ketika jenazah bersedia untuk di sembahyangi, para waris jenazah yang terdiri daripada anak-anak dan cucu-cucu hanya menunggu di luar masjid sahaja. Kalau ada yang baik sikit pun, menunggu di pintu masjid dengan memegang sampul yang berisi wang RM3 atau RM4 untuk diserahkan pada orang-orang yang menyembahyangi jenazah.
Namun demikian, bukanlah tak ada langsung mereka yang turut menyembahyangi jenazah ahli keluarga mereka malah ramai yang berbuat demikian. Mereka yang disebutkan di atas hanya berada dalam nisbah yang sangat kecil. Justeru tulisan ini bukan satu tempelakan. Sebaliknya sebagai satu peringatan tentang keperluan anak-anak didedahkan cara-cara mengerjakan solat jenazah.
Mungkin tidak ramai yang menyedari, murid-murid Tahun Enam sudah mula belajar bagaimana mengerjakan solat jenazah. Ini jarang diberi perhatian, memandangkan keutamaan lebih diberikan untuk menduduki UPSR. Namun bagi guru-guru Pendidikan Islam, pelajaran ini tidak boleh diketepikan begitu sahaja memandangkan ia termasuk dalam sukatan pelajaran yang mesti diselesaikan.
Walaubagaimanapun tidak dinafikan, kadangkala kaedah yang digunakan boleh menyebabkan murid gagal menguasai bahkan gagal mengamalkannya ketika diperlukan. Ada juga ustaz atau ustazah yang memaksa murid-murid mereka menghafal lafaz dan niat solat jenazah. Sedangkan lafaz solat malah solat fardu sekalipun bukanlah suatu yang dituntut untuk dikerjakan. Selepas hafal lafaznya, hafal pula niatnya. Itu belum lagi doa-doa yang dibaca dalam solat lagi. Kesimpulannya, jangan menyusahkan budak-budak tu. Permudahkan mereka. Saya pernah berkongsi hal ini dalam posting "Susahnya melafaz niat".
Bersempena dengan pelaksanaan program persediaan akil baligh bagi murid-murid Tahun Enam selepas UPSR, solat jenazah adalah salah satu daripadanya. Mengambil pendekatan memudahkan jangan menyusahkan, alhamdulillah mereka dengan pantas menguasainya. Cuma satu pesan saya, "Praktikkan diluar sana. Kalau tidak kamu akan lupa. Rugi."
Ulasan