Dammm! Dammmm! Dammmmm!!!
Bunyi letupan yang bertalu-talu memecah keheningan Selat Bosphorus. Bersilih ganti. Seketika bedilan datangnya dari sebelah Eropah atau lebih tepat dari kubu Rumeli Hisari. Ia kemudian diikuti pula dengan bedilan yang datangnya dari benteng Anadolu Hisari dari sebelah Asia. Kedua-dua tebing telah dikawal rapi sekaligus menyukarkan pergerakan musuh memasuki laluan tersempit di Selat Bosphorus.
Anak kapal musuh ketakutan. Layar patah dan hangus. Dindingnya pecah dan tidak dapat diselamatkan lagi. Sekali lagi tentera di bawah pimpinan Sultan Muhammad al-Fatih berjaya menyekat bantuan untuk Kerajaan Bizantin yang sedang dikepung. Tentera musuh tiada pilhan selain berebut-rebut menaiki sampan kecil bagi menyelamatkan diri. Bagi yang tidak sempat terpaksalah mengambil risiko terjun untuk cuba berenang ke tebing meskipun jerung dan yu sedang siap menunggu sajian.
Dammm! Bedilan terakhir yang menenggelamkan kapal musuh ke dasar selat. Tentera muslim bertakbir dan berpelukan sesama. Sultan Muhammad yang baru berusia awal 20-an lantas sujud mensyukuri kejayaan itu. Alangkah gembiranya.
Namun ia belum berakhir. Baginda bingkas mengingatkan tenteranya tentang misi yang belum selesai. "Matlamat kita masih jauh. Kita mesti buka Kota Kostantinople dengan kemenangan atau kita kembali menghadap Allah sebagai syahid. Sesungguhnya aku malu dengan sahabat Rasulullah yang bernama Abu Ayyub al Ansari radhiallahu 'anhu yang jasad syahidnya bersemadi di pinggir kota itu menanti kedatangan kita"
Lalu disambut dengan laungan takbir.
Lalu tibalah hari itu. Janji Allah adalah benar. Janji Rasul adalah benar. Rasul tidak akan pernah bersuara melainkan dibimbing dengan wahyu dari Yang Maha Mengetahui. Pada 29 Mei 1453 Masehi, Sultan muda dari kerajaan Uthmaniyah ini merealisaikan sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud, "Sesungguh Konstantinople akan ditakluki oleh tentera Islam. Rajanya (yang menakluk) adalah sebaik-baik raja dan tenteranya (yang menakluk) adalah sebaik-baik tentera."
Janji Rasul sallallahu 'alaihi wasallam bukan sahaja pada kenyataan bahawa Kostantinople akan dibuka. Bahkan Sultan Muhammad diakui sebagai Sultan yang berperibadi mulia. Baginda dikatakan tidak pernah meninggalkan solat tahajjud sejak usianya mencapai baligh. Selain itu diberitakan juga ketika Baginda mengarahkan tenteranya yang pernah meninggalkan solat berjamaah supaya duduk, tidak ada seorang pun tenteranya yang duduk.
Demikianlah secebis kisah gemilang generasi muslimin terdahulu yang bercita-cita tinggi dengan berpandukan keyakinan terhadap hadis Nabi sallallahu 'alaihi wasallam.
Di hadapan sana ada lagi janji Rasul yang belum tertunai. Dengan nada yang hampir sama Rasulullah menjanjikan kejatuhan Rom yang kini menjadi nadi pergerakan Kristian sedunia. Giliran siapa pula yang bakal memperolehi kegemilangan ini. Melihat kepada ciri-ciri jundullah yang dimiliki tentera Sultan Muhammad, rasanya tidak termasuk dalam senarai. Solat berjamaah tidak pernah cukup lima kali dalam sehari.
Tapi janji tetap janji. Bukan sebarang janji. Ini janji Nabi. Wahyu dari Ilahi. Allahu Akbar!
Ulasan