Masuk campur
Bukan niat nak masuk campur urusan negara jiran. Peduli apa kalau mereka nak ’import’ warga luar bermain bola untuk pasukan negara mereka. Bukan juga niat nak mempersoalkan berapakah harga yang dibayar untuk membawa seorang rakyat dari Urugay mendapat hak kerakyatan negara mereka. Bukan juga mahu mempertikaikan berapa jumlah gaji sebulan pemain itu. Masakan dia sanggup meninggalkan negara sendiri kalau pendapatannya menyamai seorang buruh binaan. Cuma sedikit rasa terkilan tatkala memikirkan nasib saudara seagama di negara Islam terbesar di dunia itu yang sering dirundung malang. Dengan masalah kemiskinan yang tidak berkesudahan, bencana alam pula datang bertimpa-timpa, bukankah lebih baik sumber yang ada digunakan mengatasi masalah-masalah tersebut. Apatah lagi dalam usaha membantu mangsa bencana alam, bantuan dari negara-negara luar sangat-sangat ditagih.
Memalukan
Beberapa hari sebelum berlangsungnya perlawanan antara Malaysia dan Indonesia, akhbar-akhbar di Indonesia menyiarkan isu pancaran laser yang dialami oleh penjaga gol pasukan Vietnam dalam perlawanan separuh akhir yang lalu. Pasukan bola sepak Indonesia meluahkan kebimbangan insiden seumpama itu akan berulang. Ternyata kebimbangan mereka sangat berasas. Insiden memalukan itu berulang sehingga penjaga gol Indonesia berulang kali membangkit masalah itu kepada pengadil sehingga perlawanan terpaksa dihentikan selama lima minit. Siapa yang melakukan bukan persoalan penting. Mungkin penyokong Malaysia, malah tidak mustahil juga penyokong Indonesia yang mengharapkan perlawanan dihentikan dan kedua-dua pasukan bermain di stadium berkecuali.
Soalnya bagaimana alat pemancar laser itu boleh terlepas dari kawalan keselamatan stadium?
Jagoan kampung
Sebelum perlawanan, Rajagopal menyifatkan Indonesia sebagai jagoan kampung dalam edisi kali ini. Mereka menang dalam semua perlawanan peringkat kumpulan dan separuh akhir pertama dan kedua kerana bermain di laman sendiri. Tepat jangkaan Rajagopal. Sekali Indonesia bermain di luar, terus kalah 0-3.
Belum tamat
Perlawanan akhir masih berbaki 90 minit. Kali ini kedua-dua pasukan akan bermain pula di Istora Bung Karno yang menyaksikan Malaysia pernah dibelasah 1-5. Bekalan 3-0 mungkin agak selesa, tapi belum mencukupi. Indonesia tentu akan bangkit. Justeru dicadangkan Malaysia perlu berusaha mendapatkan sekurang-kurang dua gol awal untuk menjarakkan lagi jurang agregat.
Ulasan