Langkau ke kandungan utama

Ikut Perintah Allah dan Rasul

Sesi pengajaran dan pembelajaran kelas 5 Kenanga telah berakhir. Sementara waktu masih berbaki, seperti biasa Ustaz membuka sesi soal jawab. Murid boleh bertanya soalan atau mahu berbincang sesuatu isu.

“Ustaz, mengapa ketika menguap kita disuruh tutup mulut?” Tanya Husin, murid yang duduk di barisan paling belakang.

“Ha, soalan yang baik!” Begitulah Ustaz yang selalu memuji murid-muridnya bertujuan merangsang minat murid untuk mengambil bahagian secara aktif setiap kali kelas berlangsung. 

“Sebelum Ustaz jawab, siapa dulu yang nak beri pendapat.” Sambung Ustaz lagi sekaligus membuka perbincangan.

“Supaya lalat tak masuk dalam mulut”, kata Zaid lantas disambut gelak tawa rakan-rakannya yang lain. Ustaz turut ketawa walau ia hanyalah lawak bodoh budak-budak.

“Takut nanti masuk angin”, kata pula Natasya. “Kalau masuk perut masuk angin, kembung satu badan”, sambungnya lagi.

“Atuk saya kata, kita tutup mulut semasa menguap supaya syaitan tak masuk dalam badan kita. Kalau syaitan masuk, dia akan hasut manusia supaya buat benda yang tidak baik”, kata Zamri yang selalu jadi bilal solat zohor berjamaah di surau sekolah.

Tiba-tiba loceng berbunyi. Ustaz ambil masa sedikit untuk menyimpulkan perbincangan. “Semua pendapat itu boleh diterima.Tetapi kalau banyak pendapat, yang paling tepat ialah ………………………”,

“………………….. perkataan Allah dan Rasul!” Semua murid menyambungnya serentak. 

“Sabda Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang bermaksud:  Menguap adalah dari syaitan, jika seseorang dari kalian menguap, hendaklah ia menahannya sebaik mungkin.” Ustaz membacakan maksud hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

“Kita menutup mulut semasa menguap adalah kerana ia perintah dari Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Ada pun sebab-sebab lain itu mungkin hikmahnya sahaja. Jadi apa pun yang kita lakukan, pastikan ia dilakukan kerana menurut perintah Allah dan RasulNYA. Dan pastikan juga ia benar-benar dari Allah dan Rasul. Assalamualaikum dan jumpa lagi esok.”

Ustaz menutup perbincangan dan beredar meninggalkan kelas 5 Kenanga.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...