Mengapakah kita lihat ada orang yang suka berkawan dengan orang-orang yang ada kedudukan. Kemudian mereka suka menyebut nama kawan-kawan mereka. Mereka mencari peluang untuk menceritakan siapa yang mereka kenal, padahal dia sendiri bukanlah siapa sangat. Tapi dia suka bercerita siapa orang-orang besar yang dikenali.
Ada masanya kita dengan bangga bercerita tentang peristiwa kita berjabat tangan dengan orang-orang ternama. Ini kerana kita hendak menceritakan kepada orang lain bahawa adanya perkaitan antara kita dengan orang-orang yang berjaya. Kita hendak ‘tumpang sekaki’ dengan kedudukan orang itu.
Kejayaan orang lain boleh menjadi sumber estim-diri* kepada kita. Estim-diri jenis ini sentiasa positif. Apabila pasukan bola sepak negara berjaya memenangi pingat emas dalam Sukan Sea yang lalu, rakyat Malaysia turut berbangga dengan kejayaan itu. Estim-diri rakyat Malaysia turut meningkat.
Sesetengah orang sangat suka bercerita mengenai kejayaan anak-anak mereka kepada orang lain. Mereka seolah-olah terlalu berbangga dengan kejayaan anak-anak mereka. Padahal orang lain pun mempunyai anak-anak yang berjaya juga.
Kejayaan ahli-ahli keluarga adalah sumber estim-diri. Anak-anak kepada ibu bapa yang terkenal mendapat estim-diri daripada kejayaan ibu bapa mereka. Tetapi, apabila ahli keuarga itu gagal, semua anggota keluarga mengalami kemerosotan estim-diri. Ibu bapa juga mendapat estim diri daripada kejayaan anak-anak mereka.
______________________________________________________
*Estim-diri ialah perasaan terhadap nilai diri sendiri. Estim-diri ialah sejauh mana kita suka atau benci kepada diri sendiri.
Ulasan