Langkau ke kandungan utama

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala.

Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan.

Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu berhati-hati dengan jawatan. Kebiasaannya mereka tidak mencari jawatan sebaliknya jawatan yang mencari mereka. Ramai juga yang menolak tawaran kerana merasakan jawatan tersebut akan menjadi belenggu kepada kerja-kerja amar makruf nahi mungkar. Namun begitu, bukan semua ulama yang ikhlas menolak tawaran jawatan sekiranya dengan jawatan yang disandang itu membantu melancarkan kerja-kerja dakwah mereka. Sudah menjadi tabiat ulama bahawa dalam semua urusan dan pekerjaan terkandungnya misi dakwah.

Demikian itu tidak selamanya keinginan untuk mendapatkan jawatan hanya dilihat dari sisi negatif semata-mata. Nanti tiada siapa yang berminat lantaran bimbang dikatakan mengharapkan laba dari jawatan, maka akan berlaku kelompangan dalam organisasi. Justeru insan harus diingatkan jawatan yang dipikul berupa amanah dan tanggungjawab yang wajib dilunasi. Justeru dilihat dari sisi positif, jawatan juga merupakan lubuk untuk pemiliknya mengaut laba ukhrawi.

"Sesungguhnya Kami sudah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan." (Surah al-Ahzab, ayat 72)

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...