Sebuah catatan atau kalau boleh dikatakan rumusan selepas selesai menyemak kertas jawapan murid-murid bagi Peperiksaan Pertengahan Tahun.
- Salah satu perkara yang disedari oleh guru ialah adanya pelajar-pelajar yang kuat menghafal dan ada yang tidak mahu menghafal.
- Rata-rata pelajar kelas 'super' berhimpun di dalamnya pelajar-pelajar yang kuat menghafal. Ini kerana soalan-soalan peperiksaan di sekolah menguntungkan pelajar-pelajar yang sanggup menghafal.
- Dalam satu kajian mendapati pelajar-pelajar mempunyai keupayaan menghafal yang sama. Namun mereka berbeza dari sudut keinginan menghafal. (Ainon Mohd & Abdullah Hassan. Berfikir dalam Darjah. 1996. Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.)
- Kumpulan pelajar yang dilabel 'super' sanggup menghafal apa sahaja maklumat termasuk maklumat yang mereka sendiri maklum tiada faedahnya untuk dihafal. Maklumat dalam buku teks tiada faedah untuk dihafal selain untuk digunakan dalam peperiksaan. Apa gunanya menghafal sifir sembilan?
- Dalam kehidupan sebenar, kebanyakan perkara perlu diketahui bukan dengan cara menghafal kecuali sedikit sahaja. Kita tidak perlu menghafal jalan ke rumah mak mertua malah cukup dengan berpandukan papan tanda. Kalau tak tahu sifir sembilan gunakanlah kalkulator. Tak gitu?
- Pelajar-pelajar yang mendapat banyak markah "A" dalam peperiksaan, belum tentu pandai berfikir.
- Mereka hanya pandai menjawab soalan peperiksaan kerana soalan peperiksaan boleh dijawab dengan cara menghafal dan mengingati maklumat dalam buku-buku teks.
- Soalan-soalan peperiksaan juga adalah jenis yang tertutup atau 'konvergen', iaitu mempunyai satu sahaja jawapan yang betul.
Sudah sampai masanya profesor-profesor pendidikan membuat kajian dan mencipta teknologi mengajar yang dapat diterima oleh pelajar-pelajar yang tidak suka menghafal. Perbezaan antara pelajar-pelajar kelas 'super' dengan pelajar-pelajar kelas corot boleh diibaratkan seperti itik dan ayam. Kedua-dua boleh diajar makan padi, tapi caranya berlainan. Si itik makannya menyudu, si ayam pula mematuk.
Ulasan