Langkau ke kandungan utama

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), "bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan".

Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu.

Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO.

Siapakah mereka yang termasuk dalam golongan yang pernah mengancam kedudukan penjajah di negara kita itu? Tulisan ini akan cuba menonjolkan beberapa orang daripada mereka secara ringkas dengan merujuk buku tulisan Dr. Ishak Saat berjudul Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran.

Ibrahim Yaakub
Seorang guru lepasan Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Beliau adalah pelopor gerakan kebangsaan Melayu menentang penjajah Barat. Seorang nasionais yang gigih dan kental. Pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS). Beliau berjuang untuk melahirkan Melayu Raya iaitu gabungan Tanah Melayu-Indonesia. Bekerjasama dengan Jepun untuk menghalau penjajah dalam Perang Dunia Ke-2. Pengaruhnya yang kuat menyebabkan beliau dihalau ke Indonesia oleh Jepun 19 Ogos 1945. Kerjaya politik beliau di Indonesia dalam menentang penjajahan sangat cemerlang sehingga menjadikan beliau tokoh politik utama di zaman kemerdekaan Indonesia.

Dr. Burhanuddin al-Helmy
Tokoh pejuang Kebangsaan Islam tanah air yang sangat terkenal pada zaman sebelum perang dan selepas perang mahupun selepas merdeka. Sepanjang hayatnya beliau berjuang untuk kepentingan bangsa Melayu dan Islam khususnya. Sepanjang pembabitannya dalam politik, beliau tidak pernah menubuhkan parti politik sebaliknya sering dijemput untuk memimpin parti-parti politik seperti KRIS, PKMM dan PAS. Nama beliau menjadi lebih cemerlang apabila beliau memimpin PAS dan berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu pada tahun 1959. Pernah menjadi Ahli Parlimen Besut Selatan, Terengganu dari tahun 1959 hingga tahun 1964. Beliau amat setia dengan perjuangan berkonsepkan Melayu Raya.

Ahmad Boestamam
Nama sebenarnya ialah Ahmad Thani bin Raja Kechil. Berasal dari Behrang, Perak. Beliau bermula dengan menyertai Kesatuan Melayu Muda(KMM) tetapi tidak lama. Beliau adalah salah seorang pengasas Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang berhaluan kiri Melayu dan pro Indonesia. Beliau kemudian menubuhkan Angkatan Pemuda Insaf dan memimpinnya. Oleh kerana terlalu radikal API diharamkan pihak British. Ditahan selama 7 tahun dalam tahanan politik. Sebaik keluar beliau menubuhkan Parti Rakyat Malaysia (PRM) bersama beberapa orang sahabat. Pernah menjadi Ahli Parlimen Setapak. Meninggal dunia pada 19 Januari 1983.

Abdul Majid Salleh
Berasal dari Tapah, Perak. Terlibat secara langsung dalam perjuangan PKMM dan pernah ditangkap sebanyak dua kali di bawah Undang-Undang Darurat 1948 dan dipenjarakan di Kem Tahanan Politik Morib, Selangor serta di Penjara Changi, Singapura. Beliau menulis kisah suka duka perjuangannya yang anti British dan perjuangannya menuntut kemerdekaan dalam karya yang berjudul Kemanakah Berakhirnya Perjuangan 1948-1988?. Tetapi buku ini tidak pernah diterbitkan. Antaranya beliau menceritakan tentang rumahtangganya yang hancur ketika dalam tahanan. Pada usia lanjutnya beliau memilih PAS untuk meneruskan perjuangannya kerana ingin menghabiskan sisa-sisa hidup sebagai seorang pejuang dalam sebuah gerakan Islam di Malaysia

Zulkifly Muhammad
Berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Mendapat pendidikan dari Al-Azhar, Mesir. Bertugas sebagai Pensyarah Kolej Islam Malaya. Sekembali dari Universiti Al-Azhar beliau ditawarkan jawatan Setiausaha Agung UMNO tetapi jiwanya tidak sesuai dengan perjuangan yang bekerjasama dengan pihak penjajah, maka beliau memilih untuk menyertai PAS lalu diamanahkan sebagai Timbalan YDP PAS. Pernah menjadi Ahi Parlimen Bachok, Kelantan. Beliau meninggal dunia dalam satu kemalangan sekembalinya dari mesyuarat di JKR 10, Kota Bharu. Jenazah beliau dikebumikan di Kuala Kangsar, Perak.

Khatijah Sidek
Memiliki sifat radikal yang amat tinggi sehingga dipecat daripada jawatan Ketua Wanita UMNO tahun 1956 kerana tidak sesuai dengan pendekatan UMNO yang memilih bekerjasama dengan penjajah British. Beliau kemudiannya menyertai PAS. Pernah menjadi Ahli Parlimen Dungun, Terengganu pada tahun 1959 mewakili parti PAS.

Demikianlah secara ringkas biodata antara pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang sering dilupakan dalam sejarah. Namun masih ramai lagi yang belum ditampilkan untuk dikenali generasi muda hari ini. Ada juga pihak yang mendakwa label radikal sebenarnya diberi oleh penjajah memandangkan sikap mereka yang menolak kerjasama dengan penjajah British. Amat malanglah sekiranya generasi hari ini mewarisi tanggapan penjajah ke atas mereka dengan maksud penghinaan serta meminggirkan peranan mereka memperjuangkan kemerdekaan. Kredit harus diberikan kepada Dr. Ishak Saat yang mengangkat martabat mereka dalam bukunya biarpun mengekalkan istilah radikal dengan pengertian mereka adalah pejuang kemerdekaan sebenar dalam mencetuskan kemerdekaan negara.

Sungguhpun mereka digolong dalam golongan radikal atau berbahaya, namun wajarkah hasrat mereka tidak perlu disokong atau bertentangan dengan hasrat seluruh bangsa Melayu yang menginginkan kemerdekaan. Merekalah pejuang sebenar. Mereka anti penjajah. Mereka berprinsip. Mereka melalui ujian penuh getir. Namun mengalah tidak sekali.

Buat mereka yang sudah tiada, kita doakan semoga Allah mencucuri rahmatNya ke atas roh mereka dan menempatkan mereka di sisi hamba-hambaNya yang beriman. Allahummaghfirlahum warhamhum wa'afihim wa'fu'anhum. Amin.

Selamat Menyambut Ulangtahun Kemerdekaan Ke-51

Ulasan

Nas hyung berkata…
Salam.. sekadar berkongsi, nama sebenar bagi Ahmad Boestamam ialah Abdullah Sani yang merupakan bapa kpd Rustam A. Sani melalui perkahwinan pertama dgn Rabitah sblm berkahwin dgn Shamsiah Fakeh. Dlm kalangan keluarga lbh dikenali sbg Buyong atua Sain. Mendpt nama Boestamam krn berminat dgn seorg penulis barat bernama "Bose". nama Boestamam diguna sbg nama pena yg akhirnya menjadi nama dlm kancah politik/ Rujuk Ahmad Boestamam: Satu Biografi Politik, tulisan Ramlah Adam

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...