Langkau ke kandungan utama

Sumpah Saiful

Pemuda yang mendakwa dirinya diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI), Mohd Saiful Bukhari Azlan akhirnya melaksanakan sumpah mubahalah. Sempat saya menyaksikan sumpah lafaznya yang disiarkan oleh TV3 dalam berita pagi tadi tanpa edit. Walaupun saya termasuk dari kalangan orang yang meragui dakwaan yang dibuat berdasarkan susuk tubuhnya berbanding DSAI, tindakan beliau bermubahalah wajar dilihat positif. Ketepikan soal berani atau takut, keikhlasan, gimik politik dan sebagainya, orang ramai tidak berhak membuat penilaian. Sekaligus menolak saranan TPM supaya rakyat menilai sendiri tindakan Saiful yang dibuatnya tanpa penglibatan UMNO dan BN.

Kini beliau telah bersumpah dengan nama Allah beserta dengan pengakuan sedia dilaknat Allah andai berdusta. Maka jalan yang terbaik bagi rakyat ialah yakin dan berserah kepada Yang Maha Berkuasa. Orang yang beriman tidak sama sekali melihat perbuatan mubahalah sebagai satu permainan politik.

Majalah I keluaran bulan Ogos menyiarkan temuramah editornya dengan SS Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainal Abidin mengenai saranannya supaya kedua-dua pihak, yang menuduh atau dituduh, menggunakan pendekatan mubahalah. Menurut Dr. Asri, "dalam al-Quran Allah mengajar mubahalah sebagai penyelesaian bagi perbalahan yang tidak diuruskan secara baik dan mengikut peraturan. Ini kerana ada pihak yang menunjukkan sikap keras kepala sehingga menimbulkan kekusutan. Mubahalah bermaksud mereka yang berbalah bertemu dan berdoa agar Allah menurunkan kelaknatan ke atas pendustaan mereka. Hal ini boleh dirujuk pada kitab Ibn Manzur, Lisan al-Arab, 11/71."

Beliau turut memetik firman Allah yang bermaksud, " Siapa yang membantahmu tentang kisah Isa sesudah datang ilmu (yang meyakinkan kamu), maka katakanlah: marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu. Kemudian marilah kita bermubahalah (nabtahil) kepada Allah dan minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta"('Ali 'Imran: 61)

Dalam riwayat al-Bukhari, Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam pernah mencabar puak kristian dari Najran agar bermubahalah tentang Nabi Isa dan kebenaran ajaran Islam. Tetapi mereka takut dan enggan melakukan.

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Mubahalah itu adalah sunnah bagi sesiapa yang keras kepala di kalangan puak kebatilan. Bahawa menjadi sunnah dalam berdebat dengan ahli kebatilan, apabila telah ditegakkan hujah namun mereka enggan kembali kepada kebenaran sebaliknya terus berdegil, maka diseru mereka agar bermubahalah. Allah telah memerintahkan RasulNya berbuat demikian. Tanpa Allah menyatakan ini bukan untuk umatmu selepas ini. Sepupu Baginda, 'Abdullah bin 'Abbas juga pernah mengajak mereka yang membantah dalam beberapa perkara furu' bermubahalah dengannya. Tiada seorang sahabat Nabi yang membantah tindakan itu. Juga al-Auza'ie pernah mengajak Sufyan ath-Thauri bermubahalah dalam masalah mengangkat tangan tanpa ada yang membantah tindakannya. Ini adalah hujah yang kuat. (Ibn Qayyim, Zaad al-Ma'ad3/562-563).

Dalam mubahalah setiap orang akan memohon kelaknatan Allah ke atas dirinya jika dia berada di pihak yang salah. Selepas itu kita semua tunggu dalam hal ini. Ramai ulama silam menyebut, biasanya Allah tidak menangguhkan hukuman melebihi setahun. Bahkan ramai dalam sejarah, hanya beberapa bulan atau hari.

Al-Imam Sakhawi dalam bukunya al-Qaul al-Munbi 'an Tarjamati Ibn 'Arabi, menceritakan gurunya al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani bermubahalah dengan seorang pengikut ibn 'Arabi (bukan al-Imam Ibn al-'Arabi). Ibn 'Arabi merupakan seorang tokoh sufi sesat yang membawa ajaran wahdatul wujud atau kesatuan tuhan dengan manusia. Masih terdapat pengikut ajarannya sehingga hari ini.

Apabila Ibn Hajar mempertikaikan ajaran salah Ibn 'Arabi, pengikut-pengikut ibn 'Arabi cuba mendapatkan campur tangan sultan dan menuduh Ibn Hajar menghina orang soleh. Ibn Hajar berjumpa dan bermubahalah dengan syeikh mereka lalu disuruhnya syeikh tersebut berkata:"Ya Allah jika ibn 'Arabi di atas kesesatan, maka laknatilah aku. Lalu syeikh tersebut menyahutnya."

Ibn Hajar pula menyebut: "jika ibn 'Arabi di atas petunjuk, maka laknatilah aku. "Lalu mereka bersurai. Mubahalah itu berlaku dalam bulan Ramadan. Pada bulan Zulqaedah, syeikh yang bersumpah mubahalah itu menjadi buta lalu ditimpa kematian.

Al-Imam Muhammad bin Abdul Wahab yang dituduh pembawa ajaran Wahhabi pernah mencabar penentangnya bermubahalah, namun mereka enggan.

Begitulah kesannya mubahalah. Seperti kata Dr. Asri lagi "kita bukannya inginkan Allah menurunkan bala buat mereka tetapi pertelingkahan membawa kepada bencana umat dan negara. Eloklah bermubahalah agar umat tidak lagi berbalah. Selepas bermubahalah, kita serahkan urusan ini kepada Allah. Dialah yang Maha Mengetahui mengenai hal hamba-hambaNya."

Dalam majalah yang sama juga, disiarkan pengakuan bekas Penasihat Undang-Undang Al-Arqam, Zabidi Mohamed, mengenai kesan sumpah mubahalah kepada al-Arqam dan pemimpin tertingginya.

Kesimpulannya, mubahalah bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Ia juga bukan alat menjatuhkan musuh. Dengannya juga tidak perlu lagi ditimbulkan tuduhan siapa benar dan siapa salah kerana semuanya sudah dipulangkan kepada Allah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...