Langkau ke kandungan utama

Kisah Seorang Nenek.

Tinggalkan dulu tentang kisah pilihanraya. Ada satu peristiwa yang saya ingin kongsikan bersama. Peristiwa yang menyebabkan saya kurang mengambil pusing tentang isu semasa biarpun saya masih sempat menonton berita TV3 tadi malam ini.

Ketika saya berjalan kaki ke surau untuk bersolat maghrib, saya terlihat kelibat seorang nenek yang mundar mandir di kawasan kejiranan saya. Saya sempat berselisih dengannya dan seakan terdengar dia bercakap sendirian. Saya kurang ambil peduli dan teruskan perjalanan kerana jamaah di surau sudah mulai solat. Seusai solat saya terus pulang dan mendapati nenek tadi sedang duduk di tepi jalan tidak jauh dari rumah saya. Saya fikir dia tentu keletihan kerana berjalan. Saya tidak bertanya tapi terus ke pulang ke rumah sedang saya melihat beliau di kelilingi oleh beberapa orang remaja India.

Rupa-rupanya kehadiran nenek tersebut telah mengundang kebimbangan beberapa orang kanak-kanak yang pulang dari mengaji al Quran. Kebetulan tempat nenek tersebut duduk tadi benar-benar di hadapan rumah mereka mengaji. Sebahagian kanak-kanak melarikan diri malah anak-anak saya turut tercungap-cungap kerana takut. Kata mereka, nenek itu perempuan **** (tak tergamak untuk saya sebutkan di sini). Cerita mereka lagi, nenek itu sedang mencari rumah anaknya. Saya tidak tahu apa yang saya fikirkan. Saya terus menonton siaran berita sehingga azan isyak. Selepas solat Isyak, saya duduk di surau sambil bersembang.Ketika itulah beberapa orang remaja India itu tadi memberitahu perihal nenek tersebut. Saya kagum dengan sikap prihatin mereka tanpa mengambil kira tentang soal kaum.

Nenek tersebut kami bawa ke surau dan cuba selidiki latar belakang dan tujuannya ke sini. Katanya hendak ke rumah anak saudaranya dengan menyebut tempat tersebut. Kami memang mengetahui tempat tersebut. Kedudukan agak jauh dan tidak berlampu sepanjang perjalanan ke situ. Walaubagaimanapun kami perlu mengesahkan cerita dan individu yang dinyatakan. Mujur seorang jiran kami memang berasal dari tempat itu. Kami berjaya mengesahkan cerita nenek tadi. Tetapi orang yang dicari sebenarnya telah berpindah ke kawasan lain. Alhamdulillah, salah seorang dari kami mengetahui kawasan tersebut. Lalu kami memutuskan untuk menghantarnya pada waktu itu juga. Kami sememangnya bimbangkan keselamatannya memandangkan ditangannya terdapat dua urat gelang emas dan tiga bentuk cincin di jari.

Sedang kami bersiap untuk menghantarnya, nenek itu seolah-olah berasa takut dan beliau cuba melarikan diri dari kami. Suasana agak kelam kabut. Beberapa orang dari kami cuba sedaya upaya memujuk dan meyakinkannya tentang pertolongan yang akan kami berikan. Saya dapat mengagak dari cara percakapannya, dia bagaikan sedang mengalami gangguan jiwa. Dari percakapannya yang kurang jelas dia menceritakan tentang ada cubaan untuk mengkhianatinya malahan kami dituduh cuba melakukan perkara tidak baik ke atasnya. Na'uzubillah. Bimbangkan keselamatannya, dia dipaksa juga mengikut kami. Akhirnya dia bersetuju mengikut kami.

Alhamdulillah, rumah yang dicari akhirnya ditemui. Reaksi tuan rumah pula membimbangkan saya. Saya lihat mereka macam tidak senang dengan kedatangan nenek itu. Saya beristighfar kerana berburuk sangka. Menurut anak saudaranya itu, dia memang kurang sihat. Kami meninggalkannya di rumah anak saudaranya dengan hati saya berdoa supaya beliau selamat di situ.

Mungkinkah peristiwa ini satu ujian buat saya dan sahabat-sahabat di surau. Luar sana pula beberapa orang yang bukan Muslim sedang memerhati dan menilai tindakan orang-orang Islam berhadapan dengan situasi ini. Saya bersyukur semuanya sudah selamat. Kalau tidak, terpaksa kami berjaga malam ini bergilir-gilir menemani nenek itu di surau. Saya turut kesal dengan sikap saya di awal tadi yang tidak mempedulikan keadaannya. Saya harap masa yang saya korbankan bersama sahabat-sahabat dengan menghantarnya akan mengkaffarah kesilapan saya sebelumnya.

Saya sebenarnya teringatkan tentang nenek saya yang sudah tua. Saya juga teringatkan ibu dan bapa saya. Malah saya turut memikirkan keadaan saya dan isteri saya bila tiba giliran tua kami.
Tua pasti menjengah jika umur dipanjangkan Ilahi. Sementara itu banyakkan berzikir dan membaca al Quran. Ingatkan Allah masa senang nescaya diingati Allah ketika susah.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terla