Langkau ke kandungan utama

Secebis kisah Ali dan Mu'awiyah

Ketika memuncaknya pertikaian antara Ali bin Abu Talib radhiyallahu 'anhu selaku Khalifah dengan Mu'awiyah radhiyallahu 'anhu yang menjadi Penguasa di Syam, tampil seorang sahabat Nabi bernama Abu Umamah al-Bahili radhiyallahu 'anhu untuk mendamaikan keduanya.

Lalu berjumpalah Abu Umamah dengan Mu'awiyah dan berkata, "Mengapakah kamu menentang Ali? Adakah kamu merasakan kamu lebih baik dari Ali? Sedangkan dia lebih dahulu memeluk Islam dari kamu."

Jawab Mu'awiyah," والله هو خير وأفضل مني" ( Demi Allah, Ali lebih baik dan lebih afdal dari aku)

"Tetapi Uthman telah dibunuh dan aku adalah walinya. Andainya Ali menangkap dan menghukum pembunuh Uthman, aku akan menjadi warga Syam pertama yang membai'ah Ali." Sambung Mu'awiyah lagi.

Abu Umamah kemudiannya menemui Ali dan mengajukan tuntutan Mu'awiyah agar Ali segera bertindak ke atas pembunuh Uthman radhiyallahu 'anhu. Namun kekacauan sudah sampai ke tahap maksima. Ali minta tempoh sehingga keadaan kembali menjadi tenang. Beberapa tindakan Ali selepas itu seperti memecat gabenor-gabenor lantikan Uthman termasuk Mu'awiyah menimbulkan curiga.

Keadaan sudah tidak terkawal. Kedua-dua pihak memalu gendang perang. Maka tercetuslah Perang Siffin yang masyhur itu. Manakala Abu Umamah dan majoriti sahabat yang masih hidup ketika itu memilih jalan berkecuali dari terlibat dalam persengketaan Ali dan Mu'awiyah.


gambar hiasan

Demikian serba sedikit coretan mengenai fitnah yang berlaku di zaman sahabat. Ia bertitik tolak dari peristiwa pembunuhan Uthman. Sungguh besar dosa orang yang merancang pembunuhan Uthman. Dialah punca perpecahan di kalangan umat Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam. Kata Muhibbuddin al-Khatib, "setiap darah yang mengalir kesan dari pertelingkahan mazhab, dosanya mesti ditanggung oleh tangan yang membunuh Uthman."

Mu'awiyah bukan mahu merampas takhta Khalifah dari Ali. Beliau hanya menuntut pembunuh Uthman dihadapkan ke muka pengadilan. Rasa hormat Mu'awiyah ke atas peribadi Ali tidak pernah luput. Lihat apa kata Muawiyah bila diaju pertanyaan kepadanya oleh Abu Umamah. "Demi Allah, Ali lebih afdal dan lebih baik dari aku." Adakah kita biasa melihat contoh ini dalam politik orang Melayu kebelakangan ini. Pernahkah kita mendengar pihak lawan dipuji kerana akhlaknya, waraknya, taqwanya atau ilmunya? Asal saja tidak bersama dalam satu parti, semuanya buruk pada pandangan.

Di pihak Ali pula bukannya tidak mahu mengadili pembunuhan Uthman sebaliknya mahu menunggu sehingga keadaan kembali menjadi tenang. Ali tidak mahu terburu-buru menjatuhkan hukuman bahkan mahu menyiasat dengan teliti terlebih dahulu. Sementara itu, Ali akan mencuba sedaya upaya memulihkan keadaan negara yang terlalu huru hara kesan dari fitnah yang maha dahsyat.

Kedua-dua pihak masih saling menghormati. Pertelingkahan mereka hanya berkisar bagaimana mahu menangani isu pembunuhan Uthman. Malangnya usaha pihak ketiga memainkan jarum hasutan menatijahkan peperangan.

p/s:: nota kuliah Riyadhus as-Solihin oleh Dr. Mohd Asri Zainol Abidin di Dewan Pengajian al-Qayyim.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Pasir Salak Resort yang mahal tapi tak ada air dan Sejarah yang diabaikan

Kelmarin saya dan keluarga bercuti ke Pasir Salak. Hajat hati mahu membawa anak-anak meninjau dan mempelajari sesuatu dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sana satu ketika dahulu. Maklumlah sekarang dalam mengharungi sistem pendidikan yang mengutamakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sejarah bangsa sendiri pun tidak diambil berat. Berbanding zaman pendidikan sekitar tahun 1980-an dahulu, Sejarah merupakan salah satu subjek dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 yang menjadi ukuran kejayaan seseorang murid di sekolah rendah. Kesesakan di tol Cangkat Jering. Mereka nak ke mana? Kami sampai sekitar jam 3.30 petang setelah mengharungi empat jam dan sejauh 270 kilometer perjalanan. Sebenarnya saya tersalah arah. Sebabnya sebaik keluar dari lebuhraya Timur Barat mengikut susur keluar Cangkat Jering, langsung tidak ada papan tanda arah ke Pasir Salak. Sehinggalah kami sampai di satu simpang, ikut kiri ke Ipoh manakala ikut kanan menunjukkan arah ke Lumut. Saya ikut jalan kanan...