Langkau ke kandungan utama

Anwar berkhatan

Hari ini Anwar selamat berkhatan. Melihat kepada usianya yang hanya akan mencapai 8 tahun pada 8 Disember ini menyebabkan saya kurang yakin untuk menyunatkannya dalam usia yang saya fikir masih awal. Sebaliknya dia menunjukkan keyakinannya kepada saya dan emaknya. Saya dan isteri bersetuju untuk mendaftar. Buat awal-awal, lepas ni tak payah fikir lagi. Tak sangka pula dapat tarikh di awal cuti sekolah. Kalau sembuhnya awal, boleh juga saya bawa keluarga makan angin.

Namun hati saya tetap bimbang kalau-kalau nanti dia buat hal. Saya pun minta tolong datuknya untuk menemani sewaktu dia dikhatankan. Mujur datuknya setuju walaupun sibuk dengan tugasan sebagai ADUN. Baru semalam diberitakan seorang pemuda hilang dan dipercayai lemas di sebuah kawasan perkelahan yang terletak dalam DUN Pantai Merdeka. Dalam perjalanan pulang dari klinik tengahari tadi kami mendapat khabar mayat telah dijumpai dan solat jenazah dijadualkan selepas solat zohor. Esoknya pula dijemput menghadiri majlis khatan beramai-ramai PAS cawangan Simpor. Belum lagi jemputan kenduri yang sampai lima dan enam jemputan dalam sehari.



Berbalik kisah Anwar. Sampai di klinik belum ada tanda-tanda sesuatu yang tidak diingini akan berlaku. Sebaik saja dipanggil masuk ke dalam bilik doktor, wajahnya mula berubah. Saya serahkan saja kepada kebijaksanaan datuknya dan doktor berpsikologi dan berdoa kepada Allah. Saya lalu telefon dan emak dan neneknya supaya sama-sama berdoa. Harapan saya biarlah ia berjalan mengikut rancangan. Di luar kedengaran suara Anwar mendendangkan lagu tanpa irama yang cukup menyayatkan hati seorang bapa. Kalaulah saya yang berada di dalam bilik itu, silap-silap Anwar akan keluar bilik dengan tersenyum kerana dia belum disunatkan lagi. Tapi oleh kerana di dalam bilik itu ada datuk yang kuat semangat dan doktor yang kering hati, akhirnya Anwar selamat dikhatankan. Dalam perjalanan pulang segala yang berlaku dalam bilik doktor diceritakan kepada saya.

Sampai di rumah, emaknya telah menyiapkan tilam untuk duduk dan tidur. Saya pula terus mencapai tali dan menggantung kain. Anwar masih belum berhenti mengeluh. Sesekali berdesit pula dia. Selepas Asar, rumah dipenuhi saudara mara yang datang berziarah hingga ke Maghrib.



Bila masuk waktu Maghrib, dia cakap nak bersolat maghrib. Saya pun tolongnya berwuduk dan ajar cara-cara bersolat dengan keadaannya. Saya suruh dia jamakkan solatnya dengan isyak tapi katanya mahu menunggu masuk waktu isyak. Sebentar tadi dia dah terlelap tanpa solat isyak terlebih dahulu. Dalam usia semuda itu saya tidak mengharapkannya menjaga solatnya. Cukuplah dengan dia mengingati waktu solat dan tidak mahu meninggalkannya.

Ketika saya mengakhiri tulisan ini, Anwar sudah lama dibuai mimpi. Sambil menulis, sesekali saya mengalihkan pandangan ke arahnya dan melayan siaran tv kegemaran CSI:Miami. Syukurlah kerana saya tidak perlu lagi melalui detik yang mendebarkan menunggu anak dikhatankan. Dari tiga orang anak lelaki, saya hanya menemani abang ngah saja manakala dua lagi ditemani datuk mereka. Bukannya tak nak masuk. Kalau dah tak ada yang teman, kena juga masuk. Takut pun ada juga, sikit-sikit. Tapi sebenarnya anak-anak lebih percayakan datuk mereka dari abah sendiri. He.. he..

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...