Langkau ke kandungan utama

Maktab Mahmud.... Kenangan Mengusik Jiwa

Sejak meninggalkan bangku persekolahan, saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Maktab Mahmud, sekolah lama saya. Bukannya jauh jarak antara Alor Setar dan Sungai Petani, tetapi saya rasa tiada tujuan untuk saya ke sana. Juga bukan kerana dendam. Sesekali bila ada perjumpaan bekas pelajar, saya pula tiada kesempatan. Tahun ini saya berazam untuk bersama dalam perjumpaan, tambahan lagi bila kerajaan negeri beralih tangan saya menjadi begitu bersemangat. Malangnya, pihak sekolah mengadakan Kem Bestari Solat J-QAF yang melibatkan semua guru. Terlepas lagi. Tunggu pula tahun depan. Cuma sesekali ke Alor Setar saya akan melalui Jalan Pegawai sambil mata mengerling ke arah Maktab Mahmud.

Jalan Pegawai

Hari ini atau lebih tepat pagi tadi, saya kembali ke sekolah yang banyak meninggalkan kenangan buat saya. Biasalah, tempat jatuh lagikan dikenang inikan pula tempat menimba ilmu. Anak sulung saya, Azrina(kakak) menduduki ujian untuk kemasukan ke Tingkatan Satu 2009. Emak dan adik-adiknya yang lain turut serta untuk memberi semangat. Pesan saya, "buat yang terbaik. Saingan ramai. Semuanya bagus-bagus." Dia tersenyum.

Seperti dahulu, permohonan untuk belajar di Maktab Mahmud tak pernah susut. Auranya tetap segar. Permintaannya melintasi sempadan negeri Kedah. Berdasarkan angka giliran, saya jangka ia melebihi bilangan 2500 pemohon. Ini baru di Maktab Mahmud pusat, belum lagi di cawangannya yang terdapat di seluruh negeri Kedah.

waris-waris calon yang mengambil ujian

Bilangan pemohon yang sebegini ramai perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan negeri Kedah untuk melakukan penambahbaikan sistem pengajian di Maktab Mahmud. Kesedaran ibu bapa kepada Islam membangkitkan harapan untuk anak-anak mereka mendapatkan pendidikan Islam dari institusi pengajian Islam yang boleh menjamin masa depan anak-anak mereka. Jaminan masa depan yang bukan hanya tertumpu kepada pekerjaan tetapi yang lebih penting ialah pembentukan peribadi dan akhlak Islam.


Justeru gabungan aliran agama dan sains adalah kaedah terbaik sekaligus membolehkan Maktab Mahmud bersaing dengan sekolah-sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan sekolah-sekolah berasrama penuh. Setakat yang saya tahu, hanya Maktab Mahmud Alor Setar sahaja yang menawarkan pendidikan aliran sains kepada pelajar-pelajarnya.

Pengalaman saya ketika menjadi Jawatankuasa Kemasukan Calon-calon ke Sekolah Berasrama Penuh secara online, saya dapati permintaan untuk ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP) aliran agama sangat tinggi. Malangnya bilangan SBP aliran agama yang terdapat di seluruh negara tidak banyak atau lebih tepatnya tidak mampu menampung permintaan.

Kerajaan Kedah tentu sudah ada perancangannya untuk menjadikan Maktab Mahmud dan semua cawangannya sebagai pilihan kepada pelajar-pelajar cemerlang UPSR untuk meneruskan kecemerlangan mereka di peringkat menengah pula. Harap-harap macam tu lah..........

Sementara menanti kakak menduduki ujian, saya membawa Azri(Angah) dan Asyraf(Bg. Cik) melihat kawasan sekitar Maktab Mahmud. "Ini kelas abah masa Tingkatan 1. Masa Tingkatan 4 dan 5 abah duduk bangunan tu." Satu persatu saya tunjukkan. Sebenarnya saya sedang melayan kenangan. Kenangan mengusik jiwa. Menariknya, mereka pun berminat untuk ambil tahu. "Angah rasa nak naik ataslah." Ajaknya. Kami pun naik ke atas bangunan paling lama di Maktab Mahmud sambil bercerita tentang kisah lama.

kelas sewaktu Tingkatan 6 Atas (Sejarah)


Bangunan paling lama di Maktab Mahmud.
Almarhum Ust. Fadhil Noor pernah
belajar dan mengajar di sini.



kelas sewaktu Tingkatan 4


tempat melepak sementara menunggu masuk ke kelas

Saya turut terserempak dengan beberapa orang teman lama yang juga membawa anak mereka menduduki ujian ini. Anak sulung juga.

Jam 11 pagi, kakak keluar dari bilik ujiannya. Tanpa berlengah kami meninggalkan Maktab Mahmud dengan harapan akan ada penyambung jejak yang saya tinggalkan 18 tahun yang lalu.

Kakaklah harapan saya.

Ulasan

Unknown berkata…
Mcm ust azrin gracias
ambangan height

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terla