Hari terakhir cuti. Paginya ke sekolah menghantar anak. Sebentar di kantin. Menikmati secawan milo panas kegemaran bersama dua biji kuih yang masih berharga 0.20 sen sebiji. Sedang di luar sana termasuk di kawasan perumahan saya sebiji kuih dijual antara 0.25 - 0.30 sen. Burger Malaysia dan karipap menjadi pilihan selain membelikan 3 biji kuih pau untuk isteri di rumah.
Seketika melayan teman bersembang. Bertanya khabar. Loceng berbunyi. Teman-teman melangkah ke kelas. Saya terus pulang.
Selepas menguruskan beberapa hal di rumah, saya ke Tabung Haji. Ambil duit. Terpaksa kerana ada urusan yang harus dibiayai. Selesai di situ, saya bercadang ke bank untuk meyimpan wang yang diamanahkan oleh jamaah surau kepada saya sebagai pengarah program korban & akikah. Melihatkan bank yang terlalu padat, saya melencong dan terus pulang.
Selepas memasak dan makan, saya terlelap seketika sehingga dikejutkan isteri. Waktu zohor dah hampir. Mandi dan ke surau.
Sebelah petangnya hanya melayari internet sambil melayan si kecil. Selepas asar, ke sekolah ambil anak-anak yang ditinggalkan sejak pagi tadi.
Cepatnya seminggu berlalu. Cuti dah habis. Esok kembali bekerja.
Ulasan