Apa nak buat malam ni? Pegang laptop dengan hajat nak buat bahan bantu mengajar untuk esoknya. Sejak menggunakan laptop baru berjenama HP Compaq Presario CQ40, bukan main galak lagi mengajar dengan menggunakan laptop. Lagi pun LCD milik PPSMI seolah dibiarkan begitu saja oleh pemilik sebenar dari kalangan guru-guru BI, Sains dan Matematik. Sebaliknya pengguna yang aktif datangnya dari guru BM dan guru PAI. Sekurang-kurangnya saya membantu juga supaya barang milik kerajaan tidak lapuk begitu saja.
Sepatutnya jadual malam ini adalah di Institut al-Qayyim mengikuti kuliah Dr. Asri. Tapi rakan-rakan pula ada keuzuran masing-masing. Saya pun habiskan masa di surau sehingga waktu isyak. Selepas solat isyak, saya bersama-sama dengan rakan-rakan tabligh bermuhasabah. Ia sebahagian program harian mereka. Tak sangka pula saya diminta menyampaikan sedikit 'tazkirah'. Mungkin atas sifat selaku Naib Pengerusi surau al-Muhtadin. Saya memberikan kesediaan. Awal-awal lagi saya katakan penyampaian saya nanti mungkin tidak teratur kerana kurang bersedia.
Penyampaian saya berkisarkan maksud amal salih yang terkandung dalam surah al-Asr( العصر ). Skop amal salih patut diluaskan dan tidak hanya berkisar sekitar ibadah-ibadah khususiah yang wajib dan sunat sahaja. Sebaliknya manusia berpeluang untuk melakukan amal salih pada setiap masa dan tempat. Kerana itu manusia tidak sepatutnya berada dalam kerugian lantaran peluang untuknya beramal salih terbuka luas asalkan mereka tidak bersikap sambil lewa atau ghuluw. Sikap sambil lewa apabila bekerja seharian merebut habuan dunia dengan tidak memerhatikan urusan akhirat manakala bersikap ghuluw apabila terlalu menumpukan soal ibadah sehingga memandang remeh pekerjaan seharian. Al-Imam Makhlad bin al Husain rahimahullahu pernah berkata, "Tidaklah Allah memerintahkan hamba-hambaNYA berbuat kebaikan melainkan iblis akan menghalangnya dengan dua cara. Iblis tidak peduli dengan cara apa dia akan menguasainya. Antara bersikap ghuluw di dalam amalan atau bersikap meringankannya". (Siyar 'Alam an-Nubala')
Maka janganlah menjadi salah satu dari keduanya sebaliknya bersikap sederhana dalam memahami maksud amal salih dan melaksanakan sesuatu amal salih. Justeru insan perlu merebut peluang beramal salih dengan memastikan setiap pekerjaan yang dilakukan disertai dengan niat ibadah. Tidak kira apa pekerjaannya sama ada makan gaji atau kerja sendiri, kakitangan kerajaan atau kerja swasta, semuanya itu amal salih.
Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud, "manusia yang paling berguna ialah manusia yang paling banyak memberi manfaat kepada orang lain".
Saya pernah mendengar sendiri seorang ahli jamaah tabligh mengatakan, "kerja di sekolah tu kerja dunia, keluar jalan Allah ini kerja akhirat." Masya Allah, "habis tu kerja kami selama ni tak dapat pahala ka?" Kata saya. Begitu singkat sekali pemahaman sesetengah orang. Tapi mereka gagahkan juga untuk bercakap mengenai agama.
Sedangkan kita semua keluar berjihad di jalan Allah setiap hari pada menunaikan amanah pekerjaan.
Ulasan