Langkau ke kandungan utama

Bertilawah dan bercerita

Minggu ini saya mengajar Murid Tahun 4 membaca surah Yusuf. Saya rasa perlu menyelitkan sama cerita yang terkandung dalam surah tersebut walaupun tidak termasuk dalam sukatan. Ada mesej yang mahu disampaikan, ada perkara yang perlu diperbetulkan dan kebenaran yang perlu dipertahankan. Sukatan sekadar menetapkan surah tersebut dibaca dan dihabiskan dalam masa empat minggu.

Maka tilawah diselangi dengan cerita. Sedaya upaya saya cuba mengelakkan tokok tambah yang biasa digunakan oleh pihak-pihak tertentu untuk menyedapkan cerita. Saya bercerita mengenai mimpi Nabi Yusuf. Cerita mengenai Nabi Yaakub yang menasihati anaknya agar menyembunyikan mimpi tersebut dari pengetahuan abang-abangnya. Cerita cemburu si abang terhadap adik mereka. Cerita tentang konspirasi. Dan bagaimana Yusuf yang masih kecil akhirnya dipelihara dan dibesarkan di istana seorang penguasa Mesir yang disebut dalam al-Quran sebagai al-'Aziz.

Tatkala dewasa, Yusuf tumbuh sebagai pemuda yang mempunyai susuk menawan sehingga memikat isteri al-'Aziz yang namanya tidak disebut dalam al-Quran. Walaupun ramai yang memberi namanya sebagai Zulaikha, saya bertegas untuk merujuk secara langsung kepada teks al-Quran. Bila masuk bab ini, perempuan menggoda lelaki, murid-murid saya mulai terbeliak biji mata. Bolehkah perempuan mengorat lelaki? Maklumlah, budak baru 10 tahun.

Cerita bersambung bila Nabi Yusuf dituduh cuba menggoda isteri al-'Aziz. Ada tanda-tanda simpati di wajah mereka. Dan akhirnya menarik nafas lega bila saranan seorang pelayan wanita kepada al-'Aziz mengenai cara pengadilan menyelamatkan Yusuf dari mangsa fitnah.

Untuk minggu ini, tilawah berhenti pada ayat ke-30. Tilawah serta cerita Nabi Yusuf 'alaihissalam akan bersambung pada minggu hadapan.

Saya turut bertanya kalau mereka pernah mendengar cerita tentang Nabi Yusuf. Ternyata mereka belum pernah mendengarnya. Ini juga bermakna mereka belum pernah mendengar kisah dongeng masyhur percintaan Yusuf dan Zulaikha. Inilah mesej yang mahu disampaikan. Tunggulah di hujung surah nanti.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam golo

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha