Surau al-Muhtadin sudah siap dibaik pulih sepenuhnya. Kini tinggal pengisian rohani pula yang tertangguh selama projek berjalan dikembalikan seperti asal. Setakat ini belum ada apa-apa tanda. Dengan usaha beberapa orang rakan sejamaah, satu halaqah tadarus al-quran dibentuk. Setiap malam Jumaat selepas solat Isyak adalah waktu pilihan. Ia khusus bermatlamatkan penambahbaikan dalam bertilawah. Nampaknya seruan bersambut dan untuk malam pertamanya seramai tujuh ahli jamaah surau mengambil bahagian. Usai membetulkan bacaan fatihah, cadangan dikemukakan untuk menyelitkan sama muzakarah berkaitan solat seperti solatnya Baginda Rasul sallallahu 'alaihi wasallam. Maka bermula minggu hadapan bertambah satu lagi program pengajian atas inisiatif dan penglibatan ahli-ahli jamaah surau sendiri. Tak perlu ramai penyertaan, cukuplah buat mereka yang ada kesungguhan.
Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...
Ulasan