Hari kedua di Hat Yai.
Jam 5.00 pagi waktu tempatan saya bangun dan menjenguk keluar tingkap. Pada perkiraan saya, subuh sudah melewati waktunya. Usai bersolat subuh, saya bersenam ringan sebelum mandi dan mengajak isteri keluar mencari sarapan.
Kira-kira Jam 7.00 pagi waktu tempatan saya dan isteri sudah berada di luar hotel. Matahari sudah meninggi. Jalan raya kelihatan sangat lengang jauh bezanya dengan suasana malam tadi. Kalau saya berdiri di tengah-tengah jalan pun tiada bahayanya.
Jujurnya saya tidak tahu arah mana untuk mencari kedai yang menjual makanan halal. Tiba di satu simpang yang jaraknya kira-kira 50 meter dari hotel saya terpandang kedai 7 eleven. Meyakini logo halal yang dikeluarkan oleh Pejabat Agama Daerah Songkhla, kami bersarapan dengan seorang sekotak milo dan susu soya berperisa coklat serta beberapa keping roti.
Jam 9 pagi waktu tempatan, semua ahli rombongan sudah selesai ‘check out’ dan menunggu bas untuk meneruskan perjalanan. Sambil itu kami mengambil kesempatan untuk meninjau beberapa gerai yang menjual pakaian dan cenderamata yang terdapat di sekitar hotel.
Kira-kira jam 11 bas yang membawa rombongan kami mula bergerak meninggalkan perkarangan hotel. Jadual seterusnya ialah membeli belah di Pasar Besar Hat Yai. Sebelum itu kami singgah terlebih dahulu di sebuah kedai yang memproses madu asli. Di kedai tersebut kami diberi penerangan oleh kakitangannya tentang cara madu diproses, bagaimana mahu mengenal pasti madu asli serta produk-produk yang dihasilkan.
Dari situ kami langsung ke kawasan bandar. Pemandu bas menurunkan kami di hadapan pasaraya Robinson dan terpaksa pula kami mendapatkan tuk tuk untuk ke Pasar Besar. Sebaik sampai di pasar besar fikiran terus terbayangkan Pasar Siti Khadijah, Kota Bharu. Keadaannya saling tak tumpah dengan deretan kedai makan, kedai pakaian, hasil kraftangan dan lain-lain. Saya dan isteri terus menapak ke kedai makan. Rupa-rupanya sudah ada rakan-rakan yang mendahului kami.Selepas makan kami meninjau kedai-kedai yang terdapat di dalam kawasan pasar di samping membelanjakan saki baki ‘baht’ yang tertinggal. Dua jam terasa begitu pantas berlalu. Kami segera mendapatkan tuk tuk dan kembali ke bas. Sekejap saja bas sudah dipenuhi ahli rombongan yang lain.
Bas terus bergerak menuju ke destinasi seterusnya iaitu Pantai Samila atau pantai ikan duyung. Perjalanan mengambil kira-kira satu jam. Tidak banyak aktiviti yang dilakukan di sana selain bersiar-siar dan minum petang. Khabarnya ada patung ikan duyung yang menjadi tarikan pelancong bergambar. Malangnya kami tidak berkesempatan bergambar di situ.
Hari semakin petang. Jadual seterusnya ke floating market atau pasar terapung dibatalkan kerana bimbang lewat tiba di sempadan. Kempunan saya nak merasa memesan makanan dari atas perahu.
Bas meluncur meninggalkan kawasan pantai menuju ke arah selatan. Solat belum didirikan lagi. Masing-masing melihat jam tangan dan tertanya di mana agaknya pemandu bas akan berhenti untuk kami bersolat. Sudah lebih satu setengah jam di dalam bas, tapi masjid belum kelihatan. Akhirnya bertemulah kami dengan sebuah masjid di kawasan Sadao dan kami segera menjamakkan solat asar dan zohor ketika waktu asar berbaki 10 minit.
Kira-kira 2 minit selepas memberi salam, azan maghrib berkemundang. Kami langsung mengerjakan solat magrib dan menjamakkannya dengan solat isyak. Perjalanan kembali ceria.
Tibalah kami di kawasan sempadan Thai-Malaysia. Selepas membeli belah buat kali terakhir, rombongan pun melewati kawasan sempadan. Singgah sebentar untuk makan malam di pekan Changlon, rombongan meneruskan perjalanan hingga tiba di sekolah sekitar jam 1 pagi.
Esoknya cuti. Bolehlah berehat melepaskan lelah berjalan jauh. Ia satu pengalaman yang menggembirakan. Hilang sementara tekanan kerja. Ada yang sudah berkira-kira, tahun hadapan jarak kembara bertambah jauh lagi. Rombongan ke luar negara bakal menjadi aktiviti tahunan kelab guru.
Ulasan