Buat pertama kali dalam hidup saya setelah umur berada di angka 40, saya berpeluang menjejakkan kaki ke negara orang. Biarpun sekadar negara jiran, ia tetap menjadi kenangan paling bermakna buat seseorang yang layak digelar seperti katak di bawah tempurung. Ia bukan sekadar pengalaman melihat negeri orang bahkan seribu pengalaman terutamanya menempuh kesukaran mencari kedai makan halal dan masjid untuk bersolat adalah yang paling mahal. Sungguh selama ini hal itu tidak pernah terbayang dalam kotak fikiran.
16hb. September, itulah tarikhnya. Bukan bermakna tiada semngat patriotik sehingga begitu mudah meninggalkan negara sendiri ketika rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan negara dan penubuhan Malaysia. Sebaliknya tarikh tersebut dipilih kerana cuti yang berturut-turut selama tiga hari memberi peluang untuk merancang perjalanan pergi dan pulang dengan selesa.
Begitupun saya tidak berseorangan. Bersama-sama saya selain isteri juga rakan-rakan dari Kelab Guru dan Staf sekolah. Sememangnya rombongan ke Thailand atau khususnya Hatyai merupakan sebahagian daripada perancangan aktiviti tahunan kami. Selaku setiausaha kelab saya adalah antara yang aktif dalam usaha merealisasikan apa yang telah diputuskan dalam mesyuarat agung lalu.
Rupa-rupanya bukan kami saja yang ‘tergamak’ meninggalkan negara pada tarikh keramat tersebut. Sempadan Malaysia-Thailand melalui jalan Bukit Kayu Hitam menjadi saksi betapa ribuan lagi rakyat Malaysia turut mengambil kesempatan pada tarikh yang merupakan cuti umum untuk melancong ke negara Gajah Putih itu. Bahkan kesesakan sudah mula dirasai sejak kami berhenti menunaikan solat subuh di R&R Gurun lagi. Ada juga rombongan yang datangnya dari selatan tanah air. Saya terfikir hebatnya tarikan perlancongan negara yang terkenal dengan seni tinju ‘Muay Thai’ itu.
Akibat kesesakan itu juga, rombongan kami hanya berupaya melepasi sempada selepas jam 1 tengahari. Perut pula sudah mula menggelegak kelaparan. Pemandu pelancong terus membawa kami melepasi pekan Dan-nok. Destinasi pertama ialah mencari kedai makan halal. Maklumlah perut yang hanya berlapikkan dua keping roti sandwich pada jam 7 pagi sudah tidak mampu lagi bertahan tatkala matahari sudah mulai condong ke barat. Dalam keadaan itu, saya terlelap seketika. Kira-kira jam 3 petang mengikut jam tangan yang dipakai, sampailah kami di sebuah bangunan yang ada dua kedai makan milik orang Melayu di daerah Sadao. Apa lagi, masing-masing pun serbu!!!
Wajah kembali ceria. Perut dah terisi. Perjalanan diteruskan. Tibalah kami di bandar Hatyai(sebutannya Hatjai). Kami ber’shopping’ dulu sebelum mendaftar masuk ke tempat penginapan di Hotel Ambassador. Sebaik memasuki bilik saya dan isteri langsung menunaikan solat Zohor dan Asar secara jamak taakkhir. Petang itu dan diikuti malamnya merupakan acara bebas. Ada yang keluar mencari kedai makan di samping mengambil kesempatan bersiar-siar di sekitar Hatyai dengan menaiki tuk-tuk. Sedang saya dan istei hanya makan bekal yang kami beli siang tadi di dalam bilik hotel saja. Selepas menjamakkan solat maghrib dan isyak, saya keluar berjalan-jalan di kawasan sekitar hotel. Saya menyaksikan sendiri apa yang dikatakan suasana malam di bandar Hatyai. Kenderaan terutama tuk tuk bersimpang siur. Gerun rasanya mahu melintas. Kata orang kalau di Bangkok lebih meriah. Tidak lama saya pun naik dan bersiap untuk melelapkan mata.
Esok perjalanan akan diteruskan ke Songkhla.
Ulasan