Sekitar tahun 1998-99, saya dan isteri menyewa rumah di Taman Cempaka. Setahun selepas itu kami berpindah ke rumah sendiri. Sejak itu saya terputus berita dengan teman-teman yang menjadi tetangga saya di sana biarpun jarak antara Taman Cempaka dengan kawasan perumahan saya sekarang cuma 30 kilometer. Namun semalam dengan izin Allah saya dipertemukan kembali dengan mereka yang hampir tidak saya kenali. Ia bermula gara-gara pertemuan saya dengan salah seorang dari mereka di Surau al-Muhtadin. Lanjutan dari pertemuan itu, beliau menghubungi dan menjemput saya untuk bertazkirah di surau Taman Cempaka. Saya tidak teragak-agak untuk menyatakan persetujuan memandangkan ini peluang untuk saya kembali bersilaturrahmi dengan teman-teman yang pernah berjamaah bersama.
Selepas solat maghrib saya bertolak bertemankan dua lagi rakan. Setibanya kami di Taman Cempaka, saya dapati tak banyak yang berubah. Begitu juga dengan suraunya. Kami tiba bertetapan dengan azan Isyak.
Selesai bertarawih saya dijemput untuk menyampaikan tazkirah dalam tempoh masa setengah jam yang ditetapkan. Dalam tazkirah saya sekadar menyentuh mengenai kerahmatan Allah yang melimpah ruah dan terbuka untuk semua mengaut seberapa banyak yang dimahukan. Manusia tidak dibezakan oleh Allah dan sesiapa saja berhak untuk menghampiri Allah seperti yang difirman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 186. Kemudian saya menyentuh sedikit tentang kepentingan dan kelebihan solat berjamaah.
Selesai tazkirah, kami dijamu dengan nasi berkari ikan. Nampak menyelerakan namun saya jamah bukan kerana keinginan sebaliknya meraikan jemputan tuan rumah semata-mata. Sejak Ramadan ini, itulah kali pertama saya makan selepas bersolat terawih. Sememangnya makan selepas terawih bukan amalan biasa saya. Untuk semalam saya makan kerana ingin mengambil masa berbual dengan teman-teman lama sambil mengimbau kenangan lalu.
Jam 11 barulah kami bergerak pulang. Sempat lagi singgah di surau al-Muhtadin menyertai jamaah yang bertadarus.
Ulasan