“Baca semua!”
“Ulang lagi!”
“Ulang sekali lagi!”
Begitulah cara saya melatih tubi setiap murid saya. Asal saja masuk tajuk atau kemahiran baru, tak kiralah sama ada ia berupa ayat-ayat al-Quran, definisi atau konsep bagi sesuatu perkara atau sebarang penyataan seperti rukun, syarat-syarat dalam ibadah, semuanya melalui proses latih tubi. Bukan sekali atau dua kali tetapi sekurang-kurangnya tiga kali.
Mengapa tiga kali?
Ia merujuk kepada peristiwa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ketika menerima wahyu pertamaNya, Jibril ‘alaihissalam selaku guru menyuruh Baginda mengulangi bait-bait ayat yang diajar sebanyak tiga kali. Ketika itu Muhammad yang belum bergelar Rasul hanya seorang lelaki yang tidak pernah mendapat pendidikan menulis dan membaca secara fomal bahkan seorang ummiy. Bayangkan kesukaran yang ditempuh oleh Baginda tatkala disuruh membaca berkali-kali di samping dipeluk erat guruNya,Jibril ‘alaihissalam.
Rasul berbangsa Arab. Dari suku Quraisy yang bukan saja dimuliakan oleh suku Arab yang lain malah sangat fasih berbicara. Sehingga dikatakan, suku Arab Quraisy saja yang mampu menyebut huruf dhad (ض) dengan tepat. Namun Baginda masih sukar membaca al-quran yang berbahasa Arab ketika kali pertama membacanya.
Murid saya berbangsa Melayu. Tidak semua yang mendapat pendidikan secara formal atau tidak formal di rumah. Malah yang dihantar mengaji oleh ibu bapa mereka pun masih tergagap membaca buku Iqra’ 1 dan 2. Inikan pula yang terabai pendidikan al-qurannya di rumah. Datang ke sekolah mengharap belas ihsan guru untuk membimbingnya mengenal ayat-ayat Allah. Sekali ajar langsung tak ketahuan buah butirnya. Masuk kedua merangkak. Dah masuk tiga kali pun merangkak lagi. Hai, kalau mahu diikutkan hati yang hilang sabar mahu saja dihenyaknya. “Apa punya buta perut?”
Tapi itu bukan method Jibril. Method Jibril ialah sabar, tidak gopoh dan kasih sayang. Method yang membentuk daya penguasaan Rasul Junjungan menjadi manusia paling baik bacaan al-quranNya.
Ohh, kalaulah saya boleh melakukan seperti itu.
:: Selamat bercuti terutamanya kepada semua guru dan murid SKTT serta seluruh warga sekolah di Malaysia.
Ulasan