Manusia ini ada bermacam ragam. Kerana itu hidup ini menjadi meriah. Cuba bayangkan kalau manusia keseluruhannya mempunyai minat yang sama. Kita mungkin hanya dapat melihat kereta Toyota Avanza 1.3 manual berwarna merah saja yang bergerak di atas jalan raya.
Demikian manusia mempunyai pandangan yang berbeza mengenai jawatan. Kalau semua orang suka pada jawatan, masalah timbul bila manusia berebut-rebut mahu mengisi kekosongan. Kalau semua tak suka, nanti siapa pula yang mahu memikul tanggugjawab memimpin.
Kata orang, setiap kerja yang dilakukan dengan rasa seronok pasti hasilnya menggembirakan. Begitulah sebaliknya. Ada jawatan yang buat kita rasa seronok. Dan ada jawatan yang hanya menjadikan kita pelaku yang terpaksa dan rasa terseksa.
Saya senang diberi beberapa jawatan di sekolah. Dengan senang hati juga saya cuba menyelesaikan setiap tugasan yang berkaitan dengan jawatan-jawatan tersebut. Saya senang dilantik sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam, Setiausaha Peperiksaan, Ketua Guru Penasihat Kelab Bola Sepak merangkap jurulatih pasukan bola sepak dan Ketua Guru Penasihat Rumah Sukan.
Saya juga senang ketika terpilih sebagai Setiausaha kelab guru dan staf di sekolah. Tapi saya tidak senang dengan jawatan Ketua Guru Penasihat PBSM kerana ia tidak menjadi minat saya.
Saya tidak senang dengan jawatan Setiausaha PAS cawangan kerana politik bukan selera saya. Namun saya senang dengan jawatan Naib Pengerusi Surau al-Muhtadin yang memberi peluang saya berbakti kepada masyarakat.
Rasa senang tidak boleh dipaksa atau datang dengan sengaja. Ia datang sendiri bersama minat terhadap sesuatu perkara. Justeru bagi sesuatu jawatan, adalah lebih baik ia diserahkan kepada mereka yang benar-benar berminat.
Kalau langsung tiada yang berminat, lebih baik dibiarkan kosong tanpa penyandang daripada diisi yang kemudiannya menjadi berantakan. Dan ia terbukti sudah berlaku kepada PAS Cawangan Batu Dua bila para penyandang tiada kesungguhan memajukan jamaah lantaran tiada minat.
Ulasan