Langkau ke kandungan utama

Susahnya melafaz niat.

Seringkali pengajian atau pembelajaran berkaitan sesuatu ibadah dimulakan dengan menghafal lafaz niat. Contohnya pengajaran dan pembelajaran tentang solat. Guru-guru yang mengajar akan memulakannya dengan menyuruh murid-murid menghafal lafaz niat bagi semua solat fardu.

Letih telinga saya mendengar rakan-rakan guru J-QAF terpekik-pekik lafaz solat fardu bersama-sama murid-murid mereka dari Tahun Satu. Kasihan pula saya melihat murid-murid Tahun Satu dipaksa melakukan sesuatu yang tidak berfaedah semata-mata kerana ia terkandung dalam sukatan pelajaran. Bagi kanak-kanak ini yang di antaranya masih belum mengenali huruf-huruf al-Quran apatah lagi membacanya, sudah pasti menimbulkan kesusahan kepadanya. Tambahan lagi mereka beranggapan tanpa lafaz solat menyebabkan solat tidak sah. Kegagalan menghafal lafaz niat mungkin menyebabkan murid-murid tadi tidak berminat untuk bersolat. Salah siapa?

Ada juga ustaz-ustaz yang masih keliru mengenai niat dan berkata-kata dalam hati. Lalu diajarlah murid mereka niatnya ialah 'sahaja aku sembahyang fardu maghrib tiga rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala'. Kerana niat beginilah ada orang dewasa yang berkali-kali mengangkat tangan bertakbiratul ihram.

Bertambah satu lagi beban murid. Sudahlah mahu lafaz pun susah, niat pun susah juga. 'Kalau susah sangat, tak payahlah sembahyang'. Mungkin itu difikiran mereka.

Sedangkan apa yang diajar selama ini tentang lafaz dan niat langsung tidak menepati apa yang dikehendaki agama.

Setiap amalan kita sama ada terangkum dalam ibadah khusus atau pekerjaan seharian bermula dengan niat. Hanya orang gila yang berbuat sesuatu tanpa niat. Sebaliknya orang waras seperti kita, apa sahaja yang kita buat akan disertai niat. Makan dengan niat, mandi dengan niat, naik kenderaan dengan niat, berpakaian pun dengan niat. Pernahkah bila kita hendak makan kita berniat "sahaja aku makan nasi dua pinggan kerana Allah Ta'ala".

Pekerjaan atau ibadah yang dilakukan secara sedar secara automatiknya telah berniat. Contohnya kalau kita sedar kita hendak makan atau sedang makan itulah niat kita. Begitu juga ketika mengangkat takbiratul ihram kita sedar bahawa kita hendak bersolat Zohor maka kita sudah berniat untuk solat zohor. Tidak perlu lagi ber"sahaja-sahaja".

Apa yang saya tulis ini ada kaitannya dengan rancangan pengajaran dan pembelajaran (P&P) saya dalam minggu lalu. Ia berkaitan dengan cara bersolat janazah (jenazah?). Kalau ikut sukatan pelajaran, mesti dimulakan dengan murid-murid menghafal dan mengingati lafaz niat solat janazah lelaki dan perempuan. Bayangkan murid terpaksa menghafal " usholli 'ala hazal mayyit arba'a takbiratin fardu kifayatin makmuman lillahi ta'ala". Itu baru janazah lelaki, belum lagi janazah perempuan. Niatnya pula?

"Kalau nak hafal lafaz tu, sebulan lagi belum tentu kamu dapat", saya menyuruh mereka abaikan sahaja. Matlamat saya sekiranya ada kematian pada petang itu, mereka sudah dapat mengerjakan solat janazah.

"Solat janazah bukannya susah", terang saya. Lalu saya tunjukkan pada mereka sambil mereka mengikutnya. Murid-murid saya sama ada lelaki atau perempuan begitu berminat dengan pelajaran ini. Saya percaya kerana saya telah mempermudahkan mereka di samping saya menggunakan kaedah amali. Guru dan murid sama-sama buat.

"Solat janazah ada empat kali takbir. Tak ada rakaat. Ruku', i'tidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat semuanya tak ada."

"Mula dengan takbir pertama. Kemudian baca fatihah. Selepas takbir kedua, salawat. Macam kita salawat dalam tahiyat akhir solat. Atau sekurang-kurangnya 'allahumma shalli 'ala Muhammad'. Selepas takbir ketiga pula, kita baca doa. Allahummaghfirlahu warhamhu wa'aafihi wa'fu 'anhu. Atau sekurang-kurangnya Allahummaghfirlahu. Selepas takbir ke empat kita baca doa lagi. Tapi doa ini sunat sahaja. Allahumma la tahrimna ajrahu wa la taftinna ba'dahu, waghfirlana walahu. Lepas doa tu, kita beri salam."

Objektif P&P tercapai. Murid dapat melakukan solat janazah sekurang-kurangnya dengan bacaan doa yang ringkas.

"Jangan susah hati. Kita bukannya imam. Kita makmum. Ikut saja belakang imam. Imam takbir, kita takbir. Masa takbir tu kita dah niat. Imam baca fatihah, kita baca fatihah. Imam baca salawat panjang, kita baca salawat pendek. Imam baca doa panjang, kita baca doa pendek. Selepas takbir keempat, kalau terlupa doa, diamkan sahaja. Sebab doa tu sunat. Akhir sekali imam bagi salam, kita pun bagi salam. Tak susahkan?" Saya akhiri penerangan.

"Selepas habis solat janazah, ada orang hulur sampul berisi duit. Ambillah KALAU TAK MALU." Saya meninggalkan pesan.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se