Langkau ke kandungan utama

Minyak jadi tajuk khutbah

Sewaktu dalam perjalanan ke masjid untuk bersolat Jumaat, saya sempat mendengar khutbah Jumaat melalui siaran langsung yang disiarkan di radio. Tetapi saya kurang pasti dari masjid mana.

Walaupun sekejap, saya dapat menangkap isinya dengan jelas. Khatib begitu bersemangat menerangkan isu kenaikan harga minyak. Antaranya tentang kewajaran kerajaan menaikkan harga minyak dan mengurangkan subsidi. Ini semua untuk kebaikan negara dan rakyat pada masa hadapan. Sempat juga saya mendengar khatib berpesan supaya jamaahnya berjimat cermat bagi menangani masalah ini. Lalu dibacanya dalil larangan melakukan pembaziran.

Teringatlah saya kepada satu kisah mengenai seorang raja yang bernama al-Malik az-Zahir. Raja telah memerintahkan ulama'-ulama' dalam negaranya supaya mengeluarkan fatwa membenarkan raja mengambil harta rakyat untuk tujuan jihad mempertahankan negara dari ancaman Tartar. Walaupun atas nama jihad, ramai ulama' yang tidak bersetuju. Akibatnya ulama'-ulama' tersebut dibunuh.

Raja kemudian mengalihkan perhatiannya kepada seorang ulama' besar zaman itu iaitu Imam Nawawi rahimahullah. Selaku ulama' yang ikhlas dengan ilmunya, Imam Nawawi bertegas menolak arahan raja. Beliau mengingatkan tentang kemewahan yang dimiliki raja. Memiliki seribu hamba lelaki yang setiap mereka memiliki tali pinggang daripada emas dan dua ratus hamba perempuan yang setiap seorangnya memiliki sebekas perhiasan.

Raja terlebih dahulu diingatkan supaya membelanjakan segala yang dimilikinya sehingga habis atau membelanjakan harta baitul mal sehingga tiada lagi simpanan wang, harta dan tanah. Jika itu sudah dilakukan, imam besar ini bersedia memberikan fatwanya supaya rakyat menyerahkan harta mereka untuk tujuan mempertahankan negara.

Rakyat yang tertindas memerlukan ulama' seberani Imam Nawawi serta ulama'-ulama' sezamannya yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka membela rakyat. Rakyat yang sedang sakit bertambah sakit bila berhadapan dengan ulama' pembodek.

Kepada para khatib yang mendapat medium yang luas melalui siaran langsung di radio dan tv, gunakanlah peluang ini bagi menyatakan yang hak. Kebenarannya ialah kenaikan harga minyak adalah satu kezaliman kepada rakyat. Rakyat berhak menikmati subsidi minyak kerana negara adalah pengeluar utama minyak dunia. Kalau hendak suruh rakyat berjimat, kerajaan sepatutnya terlebih dahulu disuruh berjimat. Ingatkan juga kepada pemerintah bahawa doa orang yang dizalimi tiada hijab antaranya dengan Allah. Berikan amaran kepada pemerintah supaya takutkan doa rakyat yang menjadi mangsa kezaliman kerajaan.

Sampai di masjid, minda saya disegarkan dengan khutbah yang berintikan kisah kesengsaraan rakyat Palestin yang menuntut keperihatinan umat Islam. Jihad umat Islam Palestin yang masih belum berpenghujung memerlukan perhatian seluruh umat Islam.

Saya puas dengan khutbah ini walaupun agak sayup kedengarannya dicelah kebisingan kanak-kanak di belakang. Saya sentiasa mengharapkan khutbah yang lebih segar. Khutbah yang dapat membangunkan jiwa dan akal selain membangunkan jamaah yang tertidur.

Saya juga mengharapkan khutbah yang lahir dari jiwa dan keintelektualan khatib yang berkhutbah. Bukan sekadar membaca teks yang disediakan jabatan agama.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terla