Langkau ke kandungan utama

Mohon Sumbangan EXCO

Pihak sekolah akan mengadakan kem kecemerlangan UPSR 2008 pada Jumaat ini bersamaan 18.04.2008 di sebuah tempat peranginan terkenal di negeri Kedah. Kem tersebut bertujuan mendedahkan teknik menjawab soalan selain menghilangkan tekanan calon-calon UPSR. Bagi menjayakan program ini yang memerlukan perbelanjaan yang agak besar, pihak sekolah bercadang memohon sumbangan daripada YB EXCO yang memegang portfolio pendidikan negeri Kedah iaitu YB Tn. Hj. Abdullah bin Jusoh. Sehubungan itu, pihak sekolah telah mengamanahkan saya untuk menyampaikan surat memohon sumbangan kepada YB.

Sedaya upaya saya cuba melaksanakan amanah tersebut, namun sehingga malam ini saya belum dapat berjumpa dengan YB EXCO walaupun telah dua kali datang ke rumahnya. Saya tidak bertanya ke mana beliau pergi dan memaklumi kesibukan beliau sebagai wakil rakyat. Walaubagaimanapun, saya agak bimbang dengan perkembangan terkini khususnya yang melanda institusi pelajaran yang melarang ahli politik dijemput dalam program-program rasmi sekolah atau mana-mana institusi di bawah Kementerian Pelajaran. Sedangkan selama ini ahli politik khususnya dari UMNO dan BN tidak pernah dihalang dari memasuki kawasan sekolah sama ada merasmikan program atau menyampaikan sumbangan. Malah sekolah saya pernah menjemput seorang individu atas kapasitinya sebagai Ketua Puteri UMNO Kedah untuk merasmikan Mesyuarat Agung PIBG pada tahun lalu.

Semua pihak maklum dengan maksud tersirat di sebalik arahan yang mengejutkan itu. Ia tidak lain bertujuan menafikan hak pemimpin kerajaan dan wakil-wakil rakyat di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat. Malangnya arahan ini datang dari Kementerian Pelajaran yang sering melaungkan kecemerlangan pendidikan atau mencanangkan kononnya pendidikan di Malaysia bertaraf dunia, kerana yang jelasnya mereka yang memimpin kementerian dan mengeluarkan arahan ini terdiri daripada golongan yang sempit pemikiran. Tidak tahu membezakan antara politik kepartian dengan pentadbiran kerajaan. Arahan songsang ini turut menjejaskan hubungan institusi pelajaran dengan kerajaan-kerajaan negeri yang dipilih rakyat. Inilah yang membimbangkan saya. Adakah permohonan kami untuk mendapatkan sumbangan dari wakil kerajaan negeri kami akan dilayan? Persoalan ini sedang bermain di kepala saya. Terfikir juga saya, kalau mereka dinafikan hak mereka sebagai kerajaan yang sah, apakah patut kami dari sekolah memohon sumbangan dari mereka pula?

Selagi surat tersebut masih di tangan saya, saya tetap dengan perasaan baik sangka dengan mengharapkan budi bicara YB mengatasi kejahatan politik angkuh dan sombong BN yang sukar menerima kekalahan mereka. Saya yakin dengan slogan ' Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua', YB akan benar-benar menjamin kesejahteraan rakyat dari semua golongan termasuk para pelajar. Tolong jangan jadikan anak-anak pelajar sebagai mangsa pertelingkahan politik. Setiap perbuatan akan dibalas Allah. Bukankah itu yang diajar dan ditekankan oleh tuan-tuan guru dalam parti YB? Dalam masa yang sama kami guru-guru sangat memahami situasi yang sedang berlaku dalam negara serta mengharapkan perubahan segera berlaku supaya tidak lagi berlaku penafian hak yang akhirnya hanya mambawa malapetaka kepada rakyat bawahan.

Esok saya akan cuba lagi. Tetapi, esok dan lusa adalah hari paling sibuk buat saya. Sedang masa berlalu pantas. Program tinggal 2 hari lagi untuk dilaksanakan. Moga misi saya berjaya. Amin.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Pasir Salak Resort yang mahal tapi tak ada air dan Sejarah yang diabaikan

Kelmarin saya dan keluarga bercuti ke Pasir Salak. Hajat hati mahu membawa anak-anak meninjau dan mempelajari sesuatu dari peristiwa bersejarah yang pernah berlaku di sana satu ketika dahulu. Maklumlah sekarang dalam mengharungi sistem pendidikan yang mengutamakan Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, sejarah bangsa sendiri pun tidak diambil berat. Berbanding zaman pendidikan sekitar tahun 1980-an dahulu, Sejarah merupakan salah satu subjek dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 yang menjadi ukuran kejayaan seseorang murid di sekolah rendah. Kesesakan di tol Cangkat Jering. Mereka nak ke mana? Kami sampai sekitar jam 3.30 petang setelah mengharungi empat jam dan sejauh 270 kilometer perjalanan. Sebenarnya saya tersalah arah. Sebabnya sebaik keluar dari lebuhraya Timur Barat mengikut susur keluar Cangkat Jering, langsung tidak ada papan tanda arah ke Pasir Salak. Sehinggalah kami sampai di satu simpang, ikut kiri ke Ipoh manakala ikut kanan menunjukkan arah ke Lumut. Saya ikut jalan kanan...