Lama juga tidak menulis. Gara-gara kabel dicuri orang. Sehingga hari ini, tiada tindakan yang diambil oleh pihak telekom Malaysia. Beberapa laporan telah dibuat oleh jiran-jiran saya. Takkan nak guna kuasa EXCO pula kut? Cuma dalam hal ini, bagi saya yang menjadi penyokong sejati pakatan PAS, PKR dan DAP, seboleh-bolehnya saya akan menjaga imej pakatan ini terutamanya wakil rakyat mereka supaya tidak dibenci orang. Saya takut, jika perkara ini menjadi tekanan wakil rakyat, mereka pula akan menekan pihak TM. Nanti jadi modal pihak lain membangkitkan kebencian ke atas pakatan. Mohon dilindungi Allah.
Hari ini saya melawat kedua ibu bapa saya. Kesempatan ini saya ambil untuk melayari internet lantas melepaskan gian saya untuk menulis. Banyak perkara yang bermain di kepala saya selama ini. Malangnya tiada tempat untuk dihamburkan. Setiap isu yang saya ikuti pasti ada jawapannya. Cuma ia berlegar-legar dalam benak fikiran saya. Kurang sesuai untuk saya kupas di sini kerana dah 'expired'. Maklumlah setiap hari pasti ada isu panas yang menutup isu semalamnya.
Namun terpandang saja ruangan pembaca Utusan Malaysia semalam, saya bersedia dengan responnya. Ada yang memberi cadangan untuk Kerajaan Kedah, ada pula yang menyesal kononnya terpangkah PAS. Persoalannya baru tiga minggu PAS mengambil alih, bolehkah dapat dilaksanakan pembaharuan. Kalau betul-betul kita ikhlas memangkah PAS kerana kesal dengan penyelewangan BN, kita seharusnya memberi sedikit masa dan ruang untuk kerajaan baru bergerak secara optimum. Kalau kita boleh bersabar dengan UMNO dan BN selama 50 tahun dengan memberi peluang pada setiap kali pilihanraya sehingga 11 kali, mengapa kita tidak boleh bersabar sedang usia kerajaan baru belum sampai sebulan. Saya sangat meragui mereka yang mendakwa sebagai pengundi pembangkang dalam pilihanraya lepas tetapi mengkritik pula kerajaan yang baru berumur 3 minggu. Saya yakin mereka ini adalah pengundi-pengundi yang kecewa dengan keputusan pilihanraya kerana parti kesayangan kecundang teruk. Dakwaan sebagai pengundi pembangkang itu sekadar ingin menunjukkan kepada pembaca kononnya ramai yang sudah menyesal kerana memangkah pembangkang. Orang-orang seperti ini sedang memberi harapan, BN akan kembali merampas kerusi dan kerajaan yang telah terlepas. Maka berangan sakanlah pemimpin-pemimpin BN kerana termakan pembohongan pendokong-pendokong setia mereka.
Seronok juga membaca akhbar sejak kebelakangan ini. Walaupun nadanya tidak pernah berubah, tapi rasa geram dah bertukar menjadi lawak. Lawak kerana membayangkan bagaimana muka-muka mereka yang menulis melepaskan kekecewaan mereka. Lawak melihat situasi yang berlaku di negeri Terengganu. Lawak menyaksikan Ketua-ketua Kampung di Perak meletakkan jawatan beramai-ramai. Di Selangor ahli-ahli majlis kerajaan tempatan dari MCA turut meletakkan jawatan. Semuanya memberi laluan mudah kepada kerajaan baru Perak dan Selangor melantik ketua-ketua masyarakat yang dapat memberi kerjasama sepenuhnya tanpa berkonflik dengan sesiapa. Mereka cuba mencetuskan huru hara tapi disambut dengan kesyukuran oleh kerajaan pakatan. Mereka mengira kerajaan akan lumpuh dengan perletakan jawatan mereka, tetapi rakyat melihat kerajaan pakatan telah cuba berdiplomasi tetapi tidak dihargai. Semuanya memuncakkan saham pakatan sebagai pihak yang bertolak ansur. Jelas, kerajaan tidak memecat mereka, sedang itu yang diharapkan supaya boleh dilabel sebagai kerajaan zalim. Mereka sendiri yang berasa gusar. Selama ini mereka mencanangkan sesiapa saja yang memerintah kita mesti menumpahkan taat setia. Di mana pula kesetiaan mereka?
Cukuplah dulu. Hari menjelang maghrib. Kena balik dulu. Seronok dapat menulis walaupun idea tak seberapa di samping hati berdoa, kabel yang dicuri segera dibaiki. Laman ini juga ingin kembali seperti dulu. Ia tidak memberi keutamaan kepada politik. Laman azridul sekadar suka-suka. he... he...
Ulasan