Tidak dinafikan baginda Nabi pernah menjampi penyakit seperti baginda juga berubat dengan bahan-bahan perubatan yang lain. Ini disebut dalam hadis-hadis yang sahih. Namun dakwaan dengan air atau kismis atau apa jua bahan-bahan jampi orang yang tidak pintar pun boleh dipintarkan, suami atau anak yang tidak baik perangainya boleh dipulihkan, ini sudah luar biasa lagi mengatasi Nabi. Baginda tidak menjampi kaum Quraisy agar beriman, bahkan bapa saudaranya yang dekat dan dikasihi iaitu Abu Talib pun meninggal dalam keadaan kufur tanpa dijampinya. Kalau dengan menjampi manusia boleh berubah sikap, pasti Nabi akan menjampi telaga zamzam kerana itu sumber air Quraisy ketika itu. Pasti Quraisy akan berubah apabila terminum. Hal ini tidak berlaku dalam sirah baginda. Kalau benar ada orang boleh menjampi sehingga mengubah sikap manusia kepada baik, atau mencerdikkan manusia maka eloklah kita mengupahnya menjampi empangan-empangan air di negara ini agar semua rakyat menjadi baik dan cerdik. Ketahuilah sesungguhnya jalan untuk manusia mendapat hidayah adalah dakwah yang benar, keikhlasan hati penerimanya dan keizinan Allah. Dalam hadis ada beberapa orang sahabat yang didoakan oleh Nabi agar diberikan ilmu dan kepandaian. Antaranya tokoh sahabat yang masih muda Ibn ‘Abbas. Namun Ibn ‘Abbas bukanlah seorang yang hanya menunggu hasilnya doa baginda datang bergolek seperti sesetengah pihak menunggu kesan bahan jampi. Sebaliknya sejarah mencatatkan kesungguhan beliau dalam berusaha memperoleh ilmu. Sebaliknya, keadaan sesetengah masyarakat Muslim seakan cuba digula-gula dengan meminum atau memakan bahan jampi orang agama, maka akan berlaku keajaiban dalam kehidupan. Sepatutnya yang ditekankan adalah soal kesungguhan menuntut ilmu seperti yang difardukan oleh Islam. Malangnya dalam masyarakat Muslim, kesungguhan membaca, memiliki buku, memenuhi perpustakaan, menulis bahan ilmiah tidak digembar-gemburkan, bahkan ‘orang lain’ mendahului kita. Tiba-tiba jampi menjadi cerdik pula yang mendapat publisiti dan dijual secara komersial. Tidakkah kita merendahkan Islam apabila orang bukan Islam melihat anak orang kita yang minum air jampi ‘ustaz’ tidak lebih cemerlang atau jauh ketinggalan dibandingkan anak ‘orang lain’ yang berbekalkan air mineral?
- Selamat Hari Guru -
Ulasan