Langkau ke kandungan utama

Tinggalkan tempat itu

Dia seorang bekas penagih. Selepas pulih dia berazam untuk mengubah hidupnya. Berazam meninggalkan kisah hitam lampaunya. Azamnya mahu membina kehidupan yang lebih cemerlang. Azamnya mahu memadam arang yang terconteng di muka bonda. Mahu mengembalikan kepercayaan orang kepadanya. Dengan azamnya dia melangkah pulang ke kampung tanpa menyedari kepulangannya disambut dengan curiga.

Pak Mat yang telur ayamnya dicuri. Pak Din yang kedainya dipecah masuk. Awang yang basikal anaknya dikebas lari. Padi berguni-guni, tabung masjid, pagar sekolah hilang tak berganti. Sukar melupakan segala kejahatan justeru dendam dan sangsi menanti kepulangan si bekas penagih.

Bagai dijangka pulangnya tidak bersambut mesra. Tinggalnya tidak aman. Duduknya tidak tenteram. Berbagai tuduhan dan kecaman. Jalannya dipandang sinis. Senyumnya dibalas cebik. Datang tidak diendah. Duduk tidak dilayan. Kelibatnya dibimbangi mungkin ada pula telur ayam yang bakal hilang.

Air mata bonda belum lagi kering menangisi nasib si anak. Tak habis-habis dicemuh orang. Menyesali perbuatan anaknya dulu. Tapi itu dulu. Tiada lagikah peluang untuk anaknya? Susah sangatkah untuk orang kampung memberinya maaf.

Namun wajarkah pula orang kampung dipersalahkan. Mereka juga manusia yang berperasaan. Bukan sedikit harta mereka yang hilang. Bayangkan kalau telur ayam yang dicuri itu hasilnya untuk membayar yuran persekolahan anak-anak. Basikal yang dikebas itu baru dibeli buat anak berulang alik ke sekolah. Padi berguni-guni diperolehi selepas berbulan-bulan berpenat lelah.

Manusia apa yang kerjanya pecah masuk kedai dan rumah orang kalau bukan pencuri. Muslim mana yang sanggup melarikan tabung masjid.

Memang Allah Maha Pengampun dan Nabi pun ampunkan umatnya. Masalahnya dia mencuri harta benda orang kampung. Ini soal perasaan dendam, marah, geram, sedih dan benci orang kampung. Dia kena sedar dan mesti sedar bukan senang mengembalikan kepercayaan masyarakat. Tapi untuk berjaya dia mesti memulakan dengan langkah itu. Kejayaan tak mungkin tercapai tanpa sokongan orang-orang di sekelilingnya. Tapi bagaimana kalau masyarakat tidak lagi mempedulikannya.

Mengadulah dia pada Allah mohon petunjuk. Bimbang juga kalau taubatnya tidak diterima. Usai berdoa hatinya tenang menyedari bahawa itu ujian Allah mengkaffarah dosa-dosa lampaunya. Besoknya pula dia bertekad ingin memohon bantuan imam dengan harapan masih ada yang bersimpati.

Jawapan imam membuatnya rasa terpukul. Beginikah seorang imam yang berilmu menyelesaikan masalah orang-orang sepertinya. Adakah patut imam muda yang dihormatinya itu menghalau dia keluar dari kampung. Hampir dia kecewa dengan hidupnya. Tiada siapa lagi tempat untuknya mengadu.

Rupanya imam ada alasannya. Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 100 orang. Lelaki itu mengadu kepada seorang alim hasratnya mahu bertaubat. Lalu disuruh orang alim tersebut supaya dia pergi jauh dari tempat asalnya. Berpisah dari persekitaran asalnya. Jauh dari masyarakat dan kawan-kawan lamanya. Tinggalkan sejarah hitamnya. (Rujuk Hadis Muslim)

Kata imam lagi, pergilah ke satu tempat yang tidak ada orang kenal. Mulakan hidup baru di sana dan binalah hubungan yang terbaik dengan masyarakat di situ. Paling penting lupakan sama sekali sejarah hitam lampau. Jangan diungkit-ungkit lagi. Islam pun tak suka umatnya mengungkit-ungkit dosa silamnya apatah lagi untuk berbangga.

Hatinya kembali membunga sebaik mendengar penjelasan imam. Dia beristighfar dan segera meminta maaf kerana terlanjur berburuk sangka. Dia tidak mahu berfikir panjang lagi. Saranan imam adalah jalan terbaik buatnya. Tempatnya bukan lagi di sini kalau mahu berjaya.

Malam itu juga dia berangkat pergi. Tubuh ibu dipeluk lama. Pipi kedut ibu diciumnya dalam-dalam. Tangan berurat ibu digenggam erat mohon ampun dan doa buat bekal perjalanan dan perjuangan. Dia pergi dan akan kembali. Tapi selepas tercapai impiannya.

Ya Allah. Berkatilah perjalanan dan usaha hambaMU.


Abu Anwar al-Alifi
1.20pm
Dewan Al Farabi SKTT

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha...

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se...

Benarlah kata Imam Syafi'e

Petang semalam saya sekeluarga makan di Kedai nasi kandar Husain. Memang popular kedai ini bagi masyarakat sekitar Sungai Petani tak kira Melayu, India atau Cina. Anak saya, minta nasi dan seketul ayam tandori berharga RM4.50. Besar saiznya lalu saya fikir boleh makan untuk tiga orang. saya pun minta supaya ketul ayam itu dipotong. Tahu apa kata pekerjanya? " Tak ada benda nak potong ." Tu dia, sikit punya besar kedai, pisau nak potong ayam pun tak ada! Selepas makan kami singgah di kedai buku Hasani. Saja nak tengok buku-buku baru. Khabarnya buku terbaru Kang Abik sudah di pasaran. Sedang asyik meninjau buku-buku di rak, telinga sempat menangkap perbualan seorang lelaki dengan dua orang perempuan muda. Tak pasti bagaimana saya boleh tertarik dengan perbualan mereka cuma suara lelaki itu sangat kuat dan boleh didengari seluruh kedai. Mulanya saya fikir lelaki tersebut salah seorang pekerja di situ sebaliknya bukan. Tapi dua wanita itu memang pekerja di situ melihat kepada t...