Langkau ke kandungan utama

Fardu kifayah mendahului dendam

Berlaku satu kematian di sebuah kampung. Si mati seorang yang sangat dikenali di kampungnya. Malangnya dia dikenali bukan kerana baik perangainya atau indah rupa parasnya sebaliknya dia dikenali kerana kejahatannya yang amat sangat. Arwah bukan saja dikenali tetapi dibenci penduduk kampung. Sebut saja apa jahatnya. Mencuri, merompak, kaki pukul, kaki pecah kereta orang atau bawa lari anak dara orang. Semua ada dalam rekod peribadinya. Kadang-kadang kerana sedikit salah faham dengan seseorang akan dihambatnya orang itu hingga ke pintu rumah lalu rasailah penangan tapak kakinya. Malah aura jahatnya turut menjalar hingga ke daerah-daerah berdekatan. Sebut saja namanya, pasti ada yang mengungkit dendam atau setidak-tidaknya mencebik.

Kini jasadnya terbaring kaku di laman tamu. Dia dikatakan mati akibat dipukul dengan benda tajam oleh sekumpulan lelaki. Itu pun kerana dendam. Bagai dijangka, matinya disambut dengan kesyukuran oleh semua penduduk kampung. "Lenyaplah kejahatan di kampung kita", sekampung menjajanya di mana-mana.

Timbul pula masalah. Sudah 24 jam mayatnya terbiar di rumah. Selain ibu bapanya, isteri dan anak-anak, tiada yang sudi menjenguk. Puas tuan imam mengelilingi kampung mengajak anak kariahnya ke rumah arwah untuk menguruskan jenazahnya. Tapi jawapannya tetap sama. "Biar dia reput dalam rumah tu." Kata mereka. Namun tuan imam tidak berputus asa. Terus dipujuknya orang-orang kampung. Tangggungjawab kifayah mesti dilunasi.

Dengan kuasanya sebagai pemimpin agama di kampung, tuan imam memanggil semua ke masjid untuk bersolat asar secara berjamaah melalui pembesar suara lalu beliau sendiri melaungkan azan. Usai bersolat, beliau bingkas bangun lalu berkata sesuatu.

"Tuan-tuan yang saya kasihi, moga-moga kita berada dalam rahmat Allah Rabbul 'alamin. Seperti yang kita semua maklum, telah berlaku satu kematian dalam kampung kita. Tak kiralah siapa yang mati, sama ada dia orang yang kita suka atau kita benci, dia masih seorang Islam yang perlu diuruskan jenazahnya seperti yang dituntut syarak. Maka ke atas kitalah tanggungjawab itu dibebankan. Dia orang kampung kita, jiran kita. Bab kejahatan dia dengan kita telah terputus ketika terputusnya roh dari jasadnya. Biarlah Allah yang menentukan nasibnya nanti.

Soal sama ada tuan-tuan nak maafkan dia, itu terpulang kepada masing-masing. Tapi marilah kita uruskan jenazahnya sekurang-kurangnya sehingga selesai urusan pengkebumian. Kalau pun tidak kerana kasihan, kerana fardu kifayah pun jadilah.

Seperkara lagi, janganlah nanti kita hukum anggota keluarga arwah kerana dendam kita. Yang bersalah ialah arwah. Dia pun dah mati, maka cukuplah setakat itu dendam kita."

Setakat itu, tuan imam segera bergegas ke rumah si mati. Setibanya di sana, beliau disambut oleh ahli keluarga arwah dengan pertanyaan, "bila lagi nak kebumikan jenazah ini, ustaz?"

Tuan imam tersenyum dengan harapan sambil berkata, "sabar. Insya Allah nanti ada orang datang."

Tidak lama kemudian, datanglah sekumpulan orang kuat masjid disertai bilal bersedia menguruskan jenazah yang terbiar hampir 48 jam. Selepas solat isyak, bersemadilah jasad itu ditempat yang sepatutnya dengan membawa bersama kebencian, kemarahan dan dendam orang terhadapnya.

Namun rahmat Allah, siapa yang tahu?

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tokoh Radikal Dalam Sejarah Kemerdekaan Negara

Bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman pernah menyatakan dalam ucapannya ketika menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang di Konvokesyen Universiti Sains Malaysia (1973), " bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan ". Ini membuktikan bahawa sumbangan dan pengorbanan golongan radikalisme Melayu amat bermakna dan tidak ternilai pentingnya. Merekalah tokoh politik nasional yang mampu menggegarkan kedudukan rejim British dan juga golongan elit Melayu. Gerakan Berhaluan Kiri atau lebih dikenali dengan panggilan radikal bermotifkan perjuangan mengusir penjajah British dari Tanah Melayu. Mereka memilih cara tidak berkompromi dengan penjajah. Berbeza dengan politik berhaluan kanan yang bekerjasama dengan penjajah dikenali sebagai moderate seperti UMNO. Siapakah mereka yang termasuk dalam g

Memenuhi kehendak(Iradah) Allah.

Berdasarkan buku teks Pendidikan Islam Tahun 5, maksud Iradah dijelaskan sebagai Allah berkehendak melakukan semua perkara tanpa terikat dengan sesuatu. Dalil kepada sifat Iradah diambil dari ayat 16 surah al-Buruj yang bermaksud " Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendaki-NYA " Hujan, panas, peredaran planet malahan gempa bumi dan tsunami semuanya berlaku dengan kehendak Allah. Kejadian-kejadian tersebut juga menggambarkan betapa patuhnya makhluk-makhluk Allah tersebut melaksanakan kehendak Khaliqnya. Begitulah penerangan yang sepatutnya. Bukan dengan membandingkan kehendak manusia dengan kehendak Allah seperti yang terkandung dalam buku teks, sebaliknya membandingkan kepatuhan manusia dalam melaksanakan perintah dan kehendak Allah dengan kepatuhan makhluk Allah yang lain. Perlu ditekankan juga berbanding manusia yang terlalu kerdil, makhluk-makhluk tersebut juga lebih besar dan hebat penciptaannya. Panas yang membahang, hujan yang mencurah bumi, matahari yang terbit

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah