Inna lillahi wa inna ilaihi raajiu'n. Saya ingin turut serta merakamkan ucapan takziah di atas pulangnya ke rahmatullah allahyarham Dato' Ishak Baharum bekas Mufti Selangor kepada ahli keluarga allahyarham, rakan-rakan seperjuangannya dan tidak lupa kepada semua pejuang-pejuan Islam dan kebenaran. Walaupun jasadnya telah tiada, namun semangat, kesungguhan, kegigihan dan keberaniannya dalam menzahirkan kebenaran akan terus bersemarak dan akan diteruskan oleh pewaris-pewaris yang inginkan keadilan Islam tertegak di atas muka bumi Allah ini.
Mengingati allahyarham membawa saya mengimbau kenangan mengikuti kuliah yang disampaikannya di Kompleks Pas Kedah Batu 9, Jalan Alor Setar-Sunagi Petani kira-kira empat tahun yang lalu. Pertama kali mendengar kuliahnya bagaikan tidak percaya, beliau dipecat dari jawatannya sebagai mufti. Nada suaranya begitu tenang. Lembut dan berhikmah. Tidak ada kata-kata cercaan dan makian hatta kepada pihak yang pernah memecatnya dahulu. Selepas itu pula saya ikuti ceramahnya yang disampaikan di atas pentas pembangkang. Nadanya dan perwatakannya sama seperti yang saya dengar dalam kuliahnya terdahulu. Inti ucapannya hanya berkisarkan amar maaruf dan nahi munkar. Beliau menentang sesiapa yang membuat munkar dan menyokong kebaikan tidak kira dari siapa kebaikan itu datang. Bukankah peribadi sebegini patut kita sanjung.
Lalu saya berfikir atas dasar apakah beliau dipecat. Tidak lain kelantangannya yang terbit di sebaliknya kelembutan itulah yang telah mendatangkan gerun kepada pihak-pihak tertentu. Rupa-rupanya, pekerjaan menegak kebaikan dan mencegah kemunkaran tidak memerlukan kita bersuara lantang, mencerca dan mencaci tetapi sudah cukup dengan teguh pendirian dan tegas dalam tindakan diiringi keikhlasan dan mengharap pertolongan Allah. Moga-moga pendekatan begini diteruskan oleh mereka yang menjadikan amar maaruf dan nahi munkar sebagai agenda hidupnya.
Kepada Allah, saya berdoa semoga roh allahyarham ditempatkan di kalangan para Nabi dan Rasul serta kekasih-kekasih Allah. Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa'aafihi, wa'fu 'anhu.
Ulasan