Langkau ke kandungan utama

Semalam yang.............. fuhhh!



Semalam ('kelmarin' kata orang Kedah) dilalui dengan jadual yang agak ketat. Baik di sekolah mahupun di rumah. Kekadang rumah juga adalah sebahagian dari pejabat saya. Bunyi saja loceng bermula persekolahan, saya sudah berkira-kira untuk menyiapkan semua perkara yang dirancang. Namun, perhimpunan rasmi pagi itu telah berlanjutan hingga 'merampas' waktu saya yang sepatutnya berada dalam kelas. Agak malang, kelas itu sering menjadi mangsa keghairahan beberapa orang guru melepaskan leteran pada murid mereka yang tak mampu melawan hingga menyebabkan perhimpunan yang sepatutnya berlangsung dalam masa 30 minit sahaja berlarutan sehingga satu jam. Nasihat......lah kononnya. Wahai teman-teman guruku, berpada-padalah dalam memberi nasihat. Jangan sampai nanti murid pulak naik meluat. Kamu dah 'kebas' masa berharga mereka dalam kelas. Lebih malang lagi, kelas yang saya dah terlepas itu adalah kelas yang berada dalam kedudukan terakhir antara kelas-kelas tahun 6. Kasihan..... kasihan.

Tinggalkan kelas itu. Saya melihat jadual ujian bulanan yang diadakan esok (hari ni......lah). Wow! Pelajaran saya yang jatuh pada hari pertama. Soalan belum siap. Malah ada beberapa tajuk yang akan dimasukkan ke dalam ujian, masih ada kelas yang belum saya ajar. Lalu, apa lagi........ terpaksalah rombak beberapa jadual. Saya sedikit kelam kabut. Tetapi, alhamdulillah dapat juga saya selesaikan 'misi' penting itu. Saya puas. Harap-harap murid-murid saya dapat menjawab soalan dalam ujian esoknya.

Celah-celah itu, dapat pula jadual ganti. Ada guru yang tidak ada di sekolah. Kursus kut. Cantiknya...... kelas yang saya ganti ialah kelas yang saya dah terlepas awal pagi tadi. Maka, kesempatan ini saya gunakan sebaiknya. Sedang asyik dalam kelas, GB panggil. Segera! Penting! Kata kerani yang menghubungi saya. Saya ke pejabat. Tidak lama selepas itu loceng pulang pun berbunyi.

Sebelum pulang, murid menjalani solat zohor berjamaah. Kali ini saya sebagai imamnya. Selesai solat, saya bersembang dengan rakan-rakan. Isu biasa. Sampai saja di rumah, terus buka komputer menaip soalan yang akan digunakan esok (hari ni.....lah). Hampir 2 jam menyiapkan soalan. Tanpa mandi dan makan tengahari. Fuhh!!! Belum sempat siap, masuk waktu asar. Solat dulu. Berjamaah di surau. Selesai menaip, cetak dan tinggalkan pesan supaya isteri tolong fotostatkan.

Saya bergegas pula ke sekolah. Petang tu. Ada kerja lagi. Selain mengambil anak yang belajar di sekolah agama petang, ada latihan olahraga peringkat zon. Bantu kawan-kawan sikit. Sampai jam 7 malam, baru balik. Sampai di rumah, masuk waktu maghrib. Solat berjamaah di surau. Selesai solat, ke kedai ambil kertas ujian yang difotostat petang tadi. Terasa lapar. Beli nasi bungkus makan dengan anak. Seorang dua bungkus. Alhamdulillah, kenyang.

Selepas solat isyak, kertas-kertas tadi di'staple'kan pulak. Sampailah jam 11 malam. Selepas itu, taip surat panggilan mesyuarat kelab guru yang saya sebagai setiausahanya. Taip juga minit mesyuarat yang lalu untuk dibentang dalam mesyuarat akan datang. Kemudian cetak. Selesai. Tengok jam dah 12.30 tengahmalam.

Mulanya nak tidur, dah terlanjur buka laptop buka blog dan masukkan entri baru. Inilah dia. He.....he....

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Tulang atau lebihan daging korban dan akikah

Mungkin agak terlewat untuk saya berbicara mengenai tajuk ini memandangkan musim korban sudah pun berakhir. Namun saya percaya masih terdapat saki baki daging korban yang masih menjadi hidangan kita dalam beberapa hari ini. Di samping itu saya juga masih tidak terlepas dari pertanyaan beberapa kenalan mengenai bagaimana harus diperlakukan ke atas tulang dan lebihan daging yang menjadi korban atau akikah. Tanpa menafikan tentang kefahaman yang dibawa sejak berzaman tentang wajibnya menanam tulang dan sisa daging sama ada mentah atau yang telah di masak, saya bersyukur kerana didedahkan dengan pandangan yang berbeza dan meyakinkan sekaligus memadam kekaburan terhadap pandangan terdahulu yang menyusahkan. Tidak ada dalil sahih yang memerintahkan agar menanam tulang dan lebihan daging aqiqah atau korban. Mungkin ini merupakan amalan tradisi masyarakat Nusantara yang sentiasa menjaga kebersihan. Ada pun dalil yang menjelaskan tentang tulang dan lebihan dagingnya merujuk kepada sebuah ha

Apa ada pada jawatan?

Apa ada pada jawatan? Mungkin ada segelintir orang yang bertanyakan hal ini bahkan sememangnya ada. Mereka ini tidak menunjukkan sebarang minat untuk berebut jawatan malah ditawar pun terasa berat menerimanya. Kalau setakat nak buat kerja, ahli biasa pun boleh buat. Lagi senang, tak payah sakit-sakit kepala. Hakikatnya pada jawatan ada segalanya. Selain beban dan tanggungjawab, pada jawatan itu juga ada wang, harta, kuasa, pengaruh dan glamour. Tak kira di peringkat mana sekalipun, sehingga rumah Allah juga bisa menjadi medan berebut jawatan. Masakan tidak andai perebutan itu mendatangkan hasil lumayan seperti yang diimpikan. Ada jawatan, berkuasa kita. Atau dengan jawatan boleh mengumpul wang dan harta. 'Alah', gaji ketua kampung bukan banyak pun. Tak mengapa glamournya ada. Pergi ke mana orang pandang, orang layan. Kalau kenduri orang lain makan ambil sendiri, tapi kita makan berhidang. Banyak lagi sebenarnya nikmat berjawatan. Kita biasa mendengar cerita ulama silam terlalu

Tahlil dalam Majlis Akikah

Satu lagi program tahunan surau telah disempurnakan kelmarin dengan muafakat penduduk. Program yang saya namakan Akikah Perdana merupakan program yang diletakkan di bawah tanggungjawab saya sebagai pengerusinya. Walaupun diadakan pada 27hb. Rejab ia tidaklah sempena sambutan Isra' dan Mi'raj tetapi mengambil kesempatan negeri Kedah bercuti pada hari tersebut. Seekor lembu ditumbangkan sebagai memenuhi hajat peserta-peserta yang mengambil bahagian menjamu hampir 1000 orang yang hadir. Lebih menggembirakan apabila nasi serta lauk pauk dapat dihabiskan sama ada dimakan atau di bawa pulang, memudahkan petugas menjalankan kerja-kerja membersih dan mengemas kembali. Cuma yang agak kurang menyenangkan saya apabila dengan tidak semena-mena tuan penasihat surau yang selama ini melantik dirinya sendiri sebagai imam surau mengajak hadirin bertahlil tanpa berbincang dengan saya terlebih dahulu. Sememangnya beliau sangat mahir mengetuai majlis-majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat. Se