Sejak parlimen dibubarkan 14 Februari yang lalu, malam ini kali pertama saya mengikuti ceramah anjuran sebuah parti politik yang dilabelkan sebagai pembangkang oleh pihak media. Penceramah utama yang juga YDP parti peringkat kawasan turut memaklumkan dan memperkenalkan calon yang akan bertanding di kawasan tersebut. Saya merupakan salah seorang pengundinya. Maka adalah sangat penting bagi saya mendapatkan maklumat daripada calon-calon tersebut. Mustahaknya, mengurangkan sedikit rasa rimas yang bersarang.
Sejak beberapa hari lalu, saya kurang mengikuti perkembangan semasa melalui berita tv. Berita radio pun secara kebetulan saya ikutinya dalam kereta ketika hendak ke sekolah. Akhbar pula saya bacanya diutusan online. Membaca di internet beri saya banyak pilihan. Malangnya saya tidak mampu untuk menghadap komputer sepanjang masa. Tetapi dengan mengikuti ceramah tadi betul-betul dapat melegakan rasa rimas saya.
Saya menjadi lebih bersemangat untuk turut serta menghulurkan bantuan sedaya saya untuk memenangkan mereka. Seperti yang saya nyatakan dalam entri yang lalu, kita perlukan perubahan untuk mengajar mereka yang selama ini tidak pandai menggunakan kuasa yang diamanahkan. Adalah kurang waras untuk saya menafikan kemajuan yang dikecapi selama ini. Bukanlah bijak untuk saya menolak pembangunan yang dicanangkan. Namun perasaan terkilan tetap ada kerana di sebalik kebaikan yang dihulurkan itu bersama-sama dengannya ialah keangkuhan, lupa diri, lupa kepada Yang Maha Agung dan Yang Maha Kuasa. Sedih apabila rakyat yang memenangkan mereka selama ini disuruh berterima kasih sebaliknya mereka yang menerima habuan kemewahan hasil dari undi rakyat tidak pernah berterima kasih. Kecewa kerana pembangunan menjadi gula-gula kempen bagi menarik sokongan rakyat, sedangkan hasil pembangunan hanya dikecapi segelintir kroni sahaja. Rimas kerana dinafikan hak untuk mendapatkan berita yang adil dari media-media milik kerajaan (yang sebenarnya milik rakyat). Muak melihat permainan-permainan kotor dalam usaha menjatuhkan pihak lawan. Jijik menyaksikan aksi-aksi tidak berakhlak hingga membabitkan aksi diranjang. Geram mendengar pembohongan tentang kenaikan harga petrol, tol dan barang keperluan harian yang lain. Terlalu marah apabila melihat mereka menggunakan sepenuhnya jentera serta premis milik kerajaan dengan anggapan itu juga milik parti mereka.
Demikianlah perasaan yang ditanggung selama ini dan pastinya ia bukan pula datang kerana kebencian. Tiada langsung rasa benci sebaliknya rasa sayang dengan harapan yang menggunung agar masa yang tinggal beberapa hari ini ada perubahan yang dibuat. Namun sehingga hari ini, keadaan masih belum berubah malah dijangkakan akan lebih teruk menjelang pilihanraya nanti. Kita saksikanlah nanti jentera kerajaan khususnya Jabatan Penerangan ditunggang habis habisan untuk memenangkan calon mereka. Menjadi kewajipan kita dengan penuh kasih sayang dan rasa bertanggungjawab untuk menghalang mereka dari terus melakukan kezaliman.
Sabda Nabi S.A.W , "bantulah saudaramu sama ada dia seorang yang zalim atau dia dizalimi." Kita hulurkan bantuan untuk si zalim agar dia tidak lagi mampu mengulangi kezaliman yang dilakukan selama ini. Kepada pejuang-pejuang perubahan, ikhlaskan hati, berharap hanya pada Yang Maha Kuasa, berusaha dengan gigih dan berwaspada dengan teknik dan taktik makar lawan dan yang paling penting hadapilah lawan kerana kasih dan kasihankan mereka. Peliharalah akhlak kita. Elakkan fitnah, serangan dan cercaan ke atas peribadi lawan. Jauhi perasaan buruk sangka. Tidak kira siapa kita dan siapa mereka, kita adalah rakyat sebuah negara yang perlu dijaga kemanan dan ketenteramannya. Sebahagian yang lain juga merupakan saudara seakidah dengan kita. Maka perlu kita pelihara hubungan itu supaya tidak dirosakkan hanya kerana pilihanraya yang datang lima tahun sekali. Akhir sekali dekatilah pengundi dengan kemesraan dan kesopanan. Saya bersama kalian, menyokong sedaya yang mampu untuk tidak menjadi sekadar penonton.
SELAMAT BERJUANG.
Ulasan